Saturday, April 02, 2011

Hukum makan ikan masin?



بسم الله، والحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه ومن والاه
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Bagaimana Dengan Isi Perut Ikan?
Ikan, sepertimana jua dengan haiwan yang lainnya, memiliki rongga perut dan padanya juga terkandung kotoran dan najis.
Menurut ulama, sesuatu yang keluar (berasal) dari rongga perut haiwan, tidak terkecuali ikan, merupakan najis. Maka dalam perkara ini, tahi ikan juga dihukumkan sebagai najis.

Jadi apakah memakan ikan yang telah dimasak atau dibakarsekaligus dengan isi perutnya itu halal atau sebaliknya? Bagaimanapula dengan dengan ikan yang dimasinkan atau diasamkan dandiperam sekaligus dengan isi perutnya?

Berikut disebutkanbeberapa pendapat ulama mengenainya:

1. Halal memakan ikan yang kecil yang digoreng atau dibakar (sekaligus dengan isi perutnya), iaitu tanpa dibersihkan atau dibuang terlebih dahulu kandungan isi perutnya. Kandungan (kotoran) dalam isi perut ikan kecil tersebut adalah dimaafkan. Ini merupakan pendapat beberapa ulama antaranya Imam an-Nawawi, al-Khatib asy-Syarbini dan Imam ar-Ramli Rahimahumullah.
Imam Ibnu Hajar Rahimahullah juga berpendapat bahawa tidak wajib membersihkan atau membuang kandungan (kotoran) dalam perut ikan kecil kerana kesukaran.
Imam asy-Syabramallisi Rahimahullah pula menjelaskan, ikan besar yang dibakar atau digoreng (sekaligus dengan isi perutnya) hukumnya adalah haram, kerana menurut Imam ar-Ramli Rahimahullah yang dihalalkan itu hanyalah pada ikan yang kecil sahaja. Ini bermakna haram memakan ikan besar sekaligus dengan isi perutnya, kerana tiada kesukaran untuk membersihkan isi perutnya dari najis (kotoran), berbeza dengan ikan yang kecil. Najis dalam perut ikan yang besar adalah tidak dimaafkan.

2. Adapun ikan yang diperam seperti ikan masin atau pekasam dan seumpamanya, menurut pendapat al-Imam ar-Rafi‘e dan an-Nawawi Rahimahumallah bahawa hukumnya adalah harus memakan ikan masin berukuran kecil (yang diperap) sekaligus dengan isi perutnya kerana kesukaran untuk membersihkan kotoran yang ada dalam isi perut ikan kecil.
Adapun ikan masin yang berukuran besar yang diperam dengan isi perutnya, maka ikan masin yang sedemikian adalah najis.

Apakah Ukuran Yang Dikatakan Sebagai Ikan Kecil?
Kadar atau ukuran ikan yang dikatakan sebagai ikan kecil itu menurut pendapat ulama ialah:
1. Apa yang menurut adat kebiasaannya diakui atau disebut sebagai ukuran ikan kecil.
2. Sekadar dua jari besarnya. Ini adalah pendapat al-‘Allamah ‘Ali asy-Syabramallisi Rahimahullah.

Lain-Lain Persoalan Yang Berkaitan
Berikut dibawakan beberapa persoalan serta penjelasan ringkas
mengenainya:
1. Bangkai Ikan Dalam Perut Ikan Lain
Jika seseorang itu mendapati bangkai ikan dalam perut ikan lain dan bangkai ikan tersebut keadaannya belum terputus-putus (hancur), maka hukum memakan bangkai ikan tersebut adalah halal. Dengan kata lain, halal memakan kedua-dua ikan tersebut.

Begitu juga bangkai ikan yang didapati dalam perut binatang lain. Jika sebaliknya, iaitu jika bangkai ikan dalam perut itu sudah membusuk serta terputus-putus, maka hukumnya tidak halal (haram) kerana ia umpama sudah menjadi muntah dan tahi.
Manakala memakan ikan yang berubah; misalnya bau atau rasa dagingnya, hukumnya adalah makruh (tidak haram) dengan syarat tidak memudaratkan.

2. Memperlakukan Sesuatu Terhadap Ikan Yang Masih Hidup
Kadangkala kerana sebab-sebab tertentu, sesetengah orang memotong, memakan atau memasak ikan ketika ianya masih hidup. Maka berikut diterangkan secara ringkas akan hukum
perbuatan ini:

(a). Memotong
Makruh memotong, mengerat atau membahagi ikan dalam keadaan ikan tersebut masih hidup. Kemudian memakan
bahagian yang dipotong itu adalah halal, namun hukumnya adalah makruh.

(b). Menelan
Menelan ikan kecil atau besar yang masih hidup (beserta isi perutnya), samada dikunyah ataupun tidak, adalah halal namun hukumnya adalah makruh. Begitu juga halnya menelan bangkai ikan yang kecil, hukumnya adalah harus (halal). Manakala menelan bangkai ikan besar adalah tetap haram, kerana isi perutnya adalah najis.

(c). Menggoreng atau membakar
Menggoreng ikan yang masih hidup dalam minyak yang panas menggelegak atau membakarnya hidup-hidup hukumnya adalah makruh, kerana ada unsur penyeksaan.

3. Minyak Yang Digunakan Untuk Menggoreng
Oleh kerana (kotoran dalam) isi perut ikan kecil adalah dimaafkan, maka minyak yang digunakan untuk menggoreng ikan kecil tersebut tidak dikira sebagai najis. Adapun bagi ikan yang besar hukumnya adalah sebaliknya, iaitu minyak yang digunakan untuk menggoreng ikan besar akan menjadi najis apabila ianya digoreng bersama isi perutnya.

Kesimpulan
Hukum memakan ikan adalah halal; samada ia mati tanpa sebab atau mati dengan sebab yang nyata, selama mana tidak mendatangkan mudarat. Manakala hukum bangkai ikan itu adalah suci (tidak najis).

Adapun memakan ikan yang kecil sekaligus dengan isi perutnya, tanpa membuang dan membersihkannya terlebih dahulu, adalah halal dan kotoran dalam kandungan isi perut ikan yang kecil adalah dimaafkan. Ini kerana adanya kesukaran untuk membersihkan kotoran yang ada pada perut ikan yang kecil.

Berbeza hukumnya bagi ikan yang besar, iaitu sekira-kira dua jari lebarnya, maka hukum memakan ikan berukuran besar yang tidak dibuang atau dibersihkan isi perutnya adalah haram dan dianggap najis kerana kotoran dalam isi perutnya adalah najis.

Apabila dilihat dari sudut yang lain pula, ulama juga mengaitkan hukum haram memakan ikan besar sekaligus dengan isi perutnya kerana isi perutnya adalah najis dan tiada kesukaran untuk membuangnya. Manakala halal pada ikan kecil, kerana isi perutnya adalah najis yang dimaafkan dan juga kerana adanya kesukaran untuk membuangnya. Oleh yang demikian dapat difahami, jika isi perut ikan kecil itu mudah dan tiada kesukaran untuk dibuang, maka wajarlah ia dibuang kerana ini bertepatan dengan kehendak syara‘ sebagaimana yang disebutkan dalam ayat 168 daripada Surah al-Baqarah ‘ حلالا طيبا ’, iaitu halal lagi baik. Baik yang bermaksud bersih, selamat, berkhasiat dan menyelerakan.