Tuesday, May 31, 2011

Pamerkan Cinta Pada Isteri

 Fitrah setiap wanita, ingin diri dikasihi dan disayangi suami. Apa sekalipun kasih sayang yang dicurahkan oleh suami, biarlah ia berterusan. Ia bukan sahaja dari segi emosi tetapi juga bantuan fizikal. Contohnya, sekali sekala membawa isteri berjalan-jalan dan berbelanja, membantu isteri di dapur dan sebagainya.

  Tetapi, berapa ramai suami yang sanggup lakukan semua secara berterusan kerana ada suami yang tidak faham dengan sifat isteri. Sesetengah suami hanya pentingkan tanggungjawab pada tugas-tugas rasmi sahaja. Menurut Dr John Gray, seorang pakar perhubungan rumah tangga di Amerika telah mengesyorkan beberapa perkara yang boleh membuatkan isteri merasa dirinya dikasihi. Antaranya:

1. Belikan buah tangan
Kebanyakan suami hanya membeli buah tangan apabila pulang dari tempat yang jauh. Pemberian seperti ini belum tentu memuaskan hati isteri kerana ia boleh diramal. Jadi, sekali sekala belilah buah tangan walaupun anda tidak ke mana-mana kerana pemberian ini langsung tidak disangka oleh isteri untuk menerimanya pada hari itu.

2. Pujian
Lazimnya, lelaki lebih suka memuji pakaian atau kecantikan wanita sebelum berkahwin, Semakin lama mereka berkahwin semakin jarang mereka memuji pakaian isteri. Sekali sekala pujilah isteri kerana ia amat menyukakan hati mana-mana isteri. Pujian mengeratkan kasih sayang.

3. Makanan Yang Disukai Isteri
Biasanya, isteri amat mengambil berat tentang makanan yang digemari suami tetapi tidak sebaliknya. Walaupun anda tidak menggemari makanan yang menjadi kesukaan isteri, tidak salah anda membelinya. Tentu isteri anda seronok menerimanya.

4. Bila Bercakap Pandang Muka Isteri
Pandanglah muka isteri apabila anda bercakap dengannya. Tingkah laku ini menjadi ciri kepada pasangan yang sedang berkasih-kasihan. Tetapi selepas berkahwin, kita kurang melakukan perbuatan ini. Wanita merasa romantis apabila orang yang dikasihinya bercakap dengan memandang matanya.

5. Beri Perhatian Ketika Isteri Bercakap
Dengarlah isteri anda bercakap sehingga dia merasa puas dan berhenti dengan sendiri. Perbuatan ini amat memenuhi keperluan psikologi wanita. Walau bagaimanapun, lelaki tidak sabar apabila mendengar isteri mereka mencurahkan apa yang terbuku di dada mereka.

6. Bercerita Tentang Masalah
Apabila melihat isteri anda kelihatan risau, bermasalah atau bersedih, ajaklah dia bercakap mengenai permasalahannya. Beri nasihat supaya tidak bersedih tetapi jangan pula anda menyelesaikan masalah dengan segera. Kesilapan begini sering dilakukan oleh lelaki. Sepatutnya, biarlah dia bertenang dan berehat terlebih dahulu.

7. Bantu Isteri Anda
Apabila melihat keadaan isteri anda penat dan letih, bantulah dia seberapa yang boleh. Walaupun ini perkara yang kecil tetapi ia amat dihargai oleh wanita.

8. Telefon Isteri Anda
Jangan lupa menelefon isteri anda terlebih awal apabila anda lambat pulang ke rumah. Kesilapan inilah yang sering dilakukan oleh lelaki. Elakkan daripada diragui oleh isteri anda sendiri.

Mengapa Berkahwin?

Perkahwinan lahir dari sifat atau tabiat manusia yang cenderung untuk mengadakan hubungan dengan manusia lain. Allah telah menjadikan hubungan perkahwinan sebagai Sunnah para Rasul. Perkahwinan yang suci akan memancarkan perasaan saling cinta, kerjasama, tanggungjawab dan terbitlah kebahagiaan yang diidamkan.

Membendung Perbuatan Maksiat

Rasulullah s.a w bersabda yang bermaksud:

"Wahai para pemuda, barang siapa di antara kamu ada yang telah sanggup berkahwin, maka berkahwinlah, kerana sesungguhnya berkahwin itu dapat , menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. Tetapi barangsiapa yang belum mampu, hendaklah ia berpuasa, sebab berpuasa itu sebagai benteng (dapat menahan nafsu)"

Mata adalah punca perbuatan maksiat. Bila pandangan dilepas dan terlihat sesuatu yang menarik (wajah perempuan, dan lain-lain) nafsu akan meledak dan mendorong syahwat. Pandangan adalah umpama panah yang terlepas dari busar panah iblis, bila mengena pada
sasaran, implikasinya sangat merbahaya! Supaya syahwat tidak bergelojak, individu yang tidak mampu berkahwin digalakkan berpuasa, kerana dengan berpuasa, kadar gelodak nafsu dapat diturunkan.

Sunnah Nabi

Kahwin adalah sebahagian daripada sunnah Rasulullah s.a.w yang patut dicontohi.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

"Barang siapa yang tidak menyukai sunnahku, ia bukanlah dari golonganku. Sebahagian dari sunnahku adalah berkahwin, oleh kerana itu siapa yang mengasihiku hendaklah ia melaksnakan sunnahku".

Mendapatkan Zuriat

Salah satu tujuan berkahwin adalah untuk mendapat zuriat yang salih. Dengan memiliki anak yang salih itu ibubapa akan mendapat pahala yang mengalir dalam kuburnya berkat doa anak-anak.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Apabila seseorang manusia telah meninggal unia, putuslah  semua amalnya kecuali tiga sahaja, iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak salih yang berdoa untuknya"

Sekumpulan orang perempuan datang menghadap Rasulullah s.a.w. untuk
minta nasihat dari beliau.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Setiap perempuan di antara kamu yang melahirkan tiga orang anak,maka mereka (anak-anak itu) akan menjadi penghalang baginya dari api neraka". Perempuan-perempuan itu bertanya: "bagaimana kalau melahirkan dua orang anak?". Rasulullah s.a.w. menjawab: "Ya, dua orang anakpun demikian juga".

Meramaikan Umat Islam

Bila orang Islam berkahwin, maka akan lahir pulalah generasi yang baru dan meneruskan perjuangan umat Islam. Dengan itu dunia ini tidak akan pernah kosong dari umat Islam.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Berkahwinlah kamu agar dapat melahirkan keturunan.Sesungguhnya saya akan berbangga pada hari kiamat jika kamu menjadi umat yang teramai (daripada umat-umat lain)". (H.R.Al-Baihaqi)

Allah s.w.t. berfirman: Ertinya:

"Tuhan telah menjadikan dari kamu itu pasangan suami isteri dan dari pasangan suami isteri itu pula lahirnya anak-anak dan cucu-cicit (keturunan yang banyak)". (Q.S. An.Nahl, 72)

Gandaan Pahala & Berkat

Ibadah orang yang berkeluarga dan dengan ibadah orang yang tidak berkeluarga adalah berbeza di segi pahalanya.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Dua rakaat yang dilakukan oleh orang berkeluarga lebih afdal daripada tujuh pulu rakaat orang yang hidup membujang".

(Dikemukakan oleh Ibnu Ady dari Abu Hurairah termaktub dalam kitab Al_kamil) (Tuhfatul Aris Wal 'Arusy, 67)

Disamping itu pahala seorang laki-laki didapat juga pada semua harta yang digunakan untuk membelanja isteri dan anak-anak, kerana semua harta, fikiran dan tenaga yang digunakan untuk menguruskan keluarga dikira sebagai sedekah.

"Barang siapa yang membiayai penghidupannya sendiri dengan niat isti'faf (tidak meminta-minta belas kasihan orang lain), itu adalah sedekah, dan barang siapa yang membiayai isteri, anak-anak dan sekalian ahli rumahnya adalah sedekah".

Melengkapkan Iman

Rasulullah s.a.w bersabda:

"Apabila seseorang hamba telah berkahwin, ia telah melengkapkan separuh agamanya, dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah untuk memenuhi kekosongan sebahagian lagi". (H.R.Al-Baihaqi)

*Sumber - Baiduri

Mencapai Keluarga Bahagia

Walaupun perasaan cinta dan kasih sayang merupakan fitrah daripada Allah, tetapi kita perlu sedar bahawa keabadian cinta itu tidak diperolehi sebagai satu anugerah tanpa diiringi dengan usaha yang bersungguh-sungguh. Sikap berhati-hati dalam menentukan pilihan untuk pasangan hidup merupakan ciri khas daripada insan budiman. Sekiranya salah membuat pilihan, bererti sepanjang hayat menanggung penyesalan.

  Sikap memilih dan ingin dipilih adalah hak bagi setiap manusia. Adalah tidak adil rasanya dunia ini, jika pilihan hanya dibolehkan untuk kaum lelaki. Dalam kehidupan bermasyarakat, perkahwinan dan pernikahan sangat diperlukan. Tujuannya adalah untuk meneruskan kehidupan umat manusia di bumi ini.

  Perkahwinan merupakan fitrah bagi setiap makhluk Allah dan menjadi asas bagi melanjutkan bahtera kehidupan. Dalam kehidupan bermasyarakat, seringkali kita dengar ungkapan; jodoh pertemuan, ajal maut di tangan Tuhan. Pendapat ini baik kerana ia dapat mendidik manusia dengan sifat qana’ah (bersyukur dengan apa yang ada) tetapi, wujud pula manusia yang terlalu cepat menyerah kepada takdir, tanpa sebarang usaha.


Beberapa pendapat tentang jodoh:

1. Jodoh merupakan takdir semata-mata

“Jodoh di tangan Tuhan, manusia mesti menerima jodohnya, baik ataupun buruk. “ Pendapat ini sangat besar pengaruhnya dan berkembang luas dalam masyarakat, tapi sayang pendapat ini kurang tepat. Jika pendapat tersebut hanya bermaksud “Jodoh di tangan tuhan" maka ada kebenarannya. Tetapi ayat yang seterusnya terkeluar dari hakikat sebenar.

Kekeliruan yang nyata sebagai bukti lemahnya pendapat itu ialah seringkali menyalahkan Tuhan bila berlaku kegagalan. Seringkali kita dengar, “Sudah takdir Tuhan, jodoh saya tak panjang.” Daripada pendapat itu, adakah Tuhan bersalah memutuskan perhubungan hambanya? Hakikat sebenarnya, siapa yang memutuskannya.


2. Jodoh merupakan takdir dan perlu mencari

  “Jodoh di tangan Tuhan, tetapi manusia harus berikhtiar mencari dan memilihnya. “ Pendapat ini lebih baik daripada pendapat pertama, walaupun masih belum sempurna. Masalahnya terletak pada sudut ikhtiar untuk mencari dan memilih jodoh.


3. Wajib berikhtiar sesuai dengan ketentuan Allah

“Jodoh di tangan Tuhan dan manusia wajib berikhtiar mencari dan memilihnya sesuai dengan ketentuan yang ditentukan Tuhan.” Pendapat ini lebih sempurna. Memang itulah aturan mencari dan memilih jodoh. Selain daripada pendapat di atas, masih ada cara lain yang digunakan di beberapa tempat seperti:
-
Jodoh dicari dan dipilih oleh orang tua tetapi perkahwinan berlangsung atas persetujuan anak.
-
Anak lelaki mencari dan memilih jodohnya sendiri tetapi keputusan berkahwin bergantung kepada orang tua.
-
Anak lelaki atau perempuan mencari atau memilih jodohnya sendiri tetapi keputusan perkahwinan bergantung kepada kedua belah pihak orang tua.
-
Anak lelaki atau perempuan mencari atau memilih jodohnya sendiri serta menentukan sendiri perkahwinannya.

Mengikut ajaran Islam, persetujuan antara kedua belah pihak merupakan perkara asas, iaitu atas persetujuan calon suami dan isteri. Ini disebabkan perkahwinan dalam Islam bertujuan untuk keselamatan dan kesejahteraan pasangan tersebut. Kedua-dua orang tua harus turut serta memikirkan atau memerhatikan jodoh bagi anaknya. Jadi masalah memilih jodoh dalam Islam boleh dilakukan oleh anak ataupun kedua-dua orang tua.

Namun begitu, kedua-dua orang tua tidak boleh sesuka hati mencarikan calon untuk anaknya. Ianya mestilah berlandaskan ajaran Islam. Bagi menentukan jodoh untuk kaum wanita, setidak-tidaknya perlu diperhatikan beberapa ciri berikut:

a. Pemimpin keluarga yang baik dan bertanggungjawab untuk membina rumah tangga.
b. Mencari nafkah yang jujur dan berhasil.
c. Pasangan ideal dalam erti:
-
Bersikap baik terhadap isteri
-
Dapat memberikan kebebasan berfikir dan memberi pendapat
-
Menerima kekurangan dan kelemahan isteri
-
Dapat membantu tugas isteri dalam keadaan dan kegiatan tertentu
-
Dapat menjaga kewibawaan isteri
-
Dapat membimbing isteri ke jalan yang baik
-
Dapat menghormati dan menyayangi sanak keluarga isteri
-
Bapa yang baik dan sayang kepada anak-anak
-
Pasangan yang baik lahir dan batin

Membina Sebuah Keluarga Yang Kukuh

 
Chong Wai Leng (diterjelmah oleh Hayati Osman)
Pada hari ini kita mempunyai pelbagai perkakasan komunikasi yang dapat menghubungkan masyarakat dan negara-negara di seluruh dunia malah hingga ke angkasa lepas.Keupayaan kita untuk berkomunikasi secara elektronik dan digital membuatkan sistem perhubungan kita begitu canggih,jauh daripada apa yang pernah kita alami dalam sejarah hidup manusia.Namun begitu,persoalan yang perlu kita renungkan ialah: Apakah kita sebenarnya telah maju dari segi perhubungan sesama insan?Adakah kita menyedari bahawa kita boleh berkomunikasi dengan rakan-rakan tetapi amat sukar untuk berbicara dengan pasangan atau ahli keluarga kita di rumah?Jika demikian,mengapa?Mengapa kita gagal untuk mendekati suami atau isteri atau anak-anak kita,malah ibubapa serta adik-beradik kita?Mengapa kita gagal berkomunikasi dalam bidang ini?
Komunikasi
Jika kita boleh menjejaki semula bagaimana ibubapa kita berkomunikasi sesama mereka,dan cara ibubapa mereka pula berkomunikasi,kita mungkin dapat satu pola komunikasi yang boleh berulang atau diikuti oleh generasi seterusnya.Sebagai contoh,seorang bapa yang pendiam dan kurang bercakap,biasanya mempunyai bapa yang juga bersikap sedemikian,dan pola ini berkemungkinan besar akan diikuti oleh anaknya yang,tanpa sedar,akan menurunkan pola ini kepada anak-anaknya pula.Ia bagaikan satu penyakit keturunan.Bagaimanapun terdapat keadaan dimana seorang kanak-kanak itu lebih dipengaruhi oleh ibunya.Namun begitu siapa yang lebih berpengaruh adalah tidak penting,tetapi kesedaran bahawa pola sedemikian boleh dihentikan jika kita berusaha untuk memperbaiki cara kita berkomunikasi.
Saya mengenali seseorang yang mempunyai seorang ayah yang hebat dikalangan rakan-rakan tetapi bersikap dingin dan kurang bercakap bila berada di rumah.Ibunya adalah seorang isteri yang patuh dan tidak berani membantah walaupun adakalanya dia tidak bersetuju dengan suaminya.Anak lelakinya mempunyai sikap yang sama seperti ayahnya dan sering gagal dalam menjalin perhubungan kerana berpendapat bahawa kaum wanita mesti “tunduk” dan melayan pasangan mereka sepenuhnya.Dia akan menghadapi masalah yang sama seperti ibubapanya kecuali dia sedar akan masalah dirinya dan berusaha untuk keluar daripada pola tersebut.
Kita sering terperangkap dalam kitaran ini kerana kita dipengaruhi oleh ibubapa kita kecuali kita dapat mengenalpasti tabiat yang tidak sihat itu dan cuba untuk memperbaiki diri kita sendiri.
Keadaan ini menjadi bertambah buruk disebabkan oleh sistem pendidikan kita yang mengutamakan pembelajaran dan kemahiran sains untuk mengejar kemajuan dalam bidang teknologi.Sebaliknya kemahiran hidup diabaikan dan pihak sekolah mengatakan ini adalah tanggungjawab ibubapa di rumah.Pihak sekolah telah dibebani dengan kewajipan untuk memenuhi pencapaian tahap peperiksaan dan sukatan mata pelajaran.Ibubapa pula terlalu sibuk bekerja untuk membiayai persekolahan anak-anak mereka.Oleh itu siapakah yang bertanggungjawab?
Kita mesti bermula dengan keluarga sendiri.Tiada cara lain dan tiada siapa lagi yang boleh menjalankan kewajipan ini untuk kita.Beberapa perkara yang boleh kita lakukan bersama anak-anak kita ialah:
1. Mengamalkan kemahiran berkomunikasi yang baik.
Kita boleh bermula sejak bayi dalam kandungan ibu dengan bercakap dan menyanyi kepadanya.Bila bayi telah dilahirkan kita boleh bercakap serta membuat hubungan mata kerana ia mustahak agar bayi mengetahui bahawa kita memberikan sepenuh perhatian kepadanya.Bila bayi mula bertatih dan menjadi kanak-kanak,kita mesti terus memberikan perhatian semasa bercakap dengan mereka dan sentiasa bersopan santun sama seperti kita bercakap dengan orang dewasa.
2. Menggunakan bahasa positif.
Bahasa yang berunsur positif dapat membina keyakinan dalam diri kanak-kanak.Bahasa positif yang proaktif membawa lebih kebaikan,sebaliknya perkataan negatif mematikan harga diri dan keyakinan diri.Bahasa negatif menimbulkan rasa tidak puas hati yang seterusnya akan menimbulkan pelbagai masalah kepada ibubapa dan anak.
 
3. Membuka semua saluran untuk berkomunikasi.
Mendengar dan memberi perhatian kepada kemahuan anak-anak kita adalah amat penting.Kita mesti menjadi pendengar yang baik supaya dapat memahami anak-anak kita.Kita mesti berupaya mendengar apa yang tersirat di sebalik rengekan mereka dan juga pemikiran kita.
Sekiranya kita baru saja memulakan sebuah keluarga,kita boleh bermula dari sekarang .
Namun jika kita telah mempunyai keluarga yang sedang mengembang dan tidak mengamalkan perkara-perkara tersebut di atas,masih belum terlambat bagi kita untuk memulakannya.
Faktor penting dalam kemahiran berkomunikasi ialah bahasa,dan jika kita masih belum menguasai bahasa,kita tidak akan dapat meluahkan fikiran dan perasaan kita.Kita mesti berusaha menguasai sekurang-kurangnya satu bahasa,samada Bahasa Inggeris,Melayu,
Mandarin atau Tamil,atau apa jua bahasa yang digunakan.Itulah sebabnya kita mesti
memastikan anak-anak kita dapat menguasai bahasa bagi memudahkan mereka meluahkan perasaan.
Bagi suami-isteri,kemahiran berkomunikasi adalah lebih penting.Mereka mesti mencari peluang untuk berbual-bual dan mendalami perasaan masing-masing.Dengan mendalami perasaan mereka membuka ruang untuk mengenali lebih mendalam antara mereka,membuat keadan hidup bersama lebih baik dan ceria,dan seterusnya memperbaiki perhubungan mereka.Perkahwinan tidak sepatutnya bererti pasangan berhenti berkomunikasi.Sebaliknya,pasangan yang telah berkahwin perlu lebih banyak berkomunikasi kerana mereka bertanggungjawab untuk memberi yang terbaik dan membahagiakan kehidupan sesama mereka.Adalah penting bagi suami-isteri sentiasa meluangkan masa untuk berbual dan mendalami perasaan masing-masing.
Dalam keluarga kami masa makan malam adalah masa di mana semua orang berkumpul dan makan bersama,termasuk dua orang anak perempuan kami yang masih kecil.Suasananya sangat positif kerana semua orang merasa ceria dan positif.Kami akan terus berbual-bual dan berkongsi pendapat walaupun semua telah selesai makan,dan anak kami yang berusia dua tahun mengikuti perbualan kami sekali-sekala,menjawab pertanyaan-pertanyaan ayahnya dan menceritakan aktiviti sehariannya.Adiknya yang berusia satu tahun menyertai perbualan melalui mimik muka serta pergerakan tangan dan cara pertuturannya sendiri yang kami masih belum mengerti.Kemahiran berkomunikasi adalah satu tenaga positif yang tidak terhad hanya kepada kemahiran bercakap tetapi meliputi keseluruhan hidup kita dan semua yang kita lakukan.
 
Komitmen
Bersatu dalam satu perhubungan adalah satu komitmen – komitmen untuk sama-sama berusaha memahami diantara satu sama lain.Ramai yang tidak dapat melaksanakan komitmen ini dalam sebuah perhubungan yang kekal;ada yang berhenti setelah berkahwin.Mungkin ada yang merasakan “tugas telah selesai” atau mereka takut untuk terus berkongsi kerana tidak mahu terluka atau malu dengan apa yang akan diketahui oleh pasangan mereka.Namun tanpa sebarang komitmen,tidak akan ada satu perhubungan yang sejati kerana hanya melalui ikatan cinta,kepercayaan dan rasa hormat akan wujud satu perhubungan yang kekal dan memuaskan.Kedukaan adalah satu fenomena semula jadi kehidupan.Selagi ada kehidupan,selagi itu ada kedukaan.Kita tidak boleh lari daripadanya.Namun di sebalik itu ada kebahagiaan,yang cuba dikecapi oleh semua selagi mereka berupaya.
Hidup berumahtangga memerlukan banyak komitmen – dari segi kewangan,psikologi,dan emosi.Ia menuntut kematangan emosi dan pemikiran untuk menghadapi dan mengendalikan hakikat perkahwinan dan keibubapaan.Oleh itu setiap pasangan perlu memberi masa dan peluang yang mencukupi untuk mengenali dan memahami diri masing-masing.Sekali lagi,komunikasi adalah alat yang berkesan untuk menyemai rasa saling hormat dan memahami.Mesti ada perbincangan mengenai apa yang masing-masing harapkan dan rancangan mereka untuk masa depan,dan bagaimana masing-masing boleh memainkan peranan untuk mencapai satu tujuan yang sama.
Apabila anak-anak hadir dalam hidup,komitmen untuk mengasihi dan memelihara mereka adalah lebih penting.Kini perkahwinan itu lebih terikat kerana ia melibatkan lebih dari dua orang insan.Pada tahap ini suami-isteri mesti menjalankan tanggungjawab bersama dalam membesarkan anak-anak dan juga mengekalkan perhubungan mereka.Perkara ini sering diketepikan bila kelahiran anak menuntut masa dan perhatian yang lebih banyak.Sebuah perkahwinan yang bahagia membuat anak-anak merasa selamat dan disayangi,dan mempengaruhi keyakinan mereka terhadap kasih sayang dan perkahwinan.
 
Kerjasama
Peranan suami dan isteri masakini tidak lagi dibahagi dengan jelas – suami mencari nafkah dan isteri menguruskan anak-anak dan rumahtangga.Kaum lelaki kini secara amnya lebih terlibat dalam mengasuh anak-anak serta membantu dalam kerja-kerja rumah.Bagaimanapun,masih ada yang mengikut cara hidup lama dan terus menjadi raja dalam rumah mereka dan mengecewakan isteri mereka.Walau apa jua keadaannya,samada suami-isteri bekerja di luar,atau salah seorang tinggal di rumah mengasuh anak-anak,atau mungkin kedua-duanya bekerja dari rumah supaya hidup lebih “normal”,kedua-duanya perlu bekerjasama dan saling membantu dalam menjalani hidup seharian dan membuat persediaan untuk masa depan.
Ini bukan mengenai persamaan hak,tetapi lebih kepada komitmen yang sama dan dengan itu bekerjasama dalam mengendalikan anak-anak dan rumahtangga.Ia mengenai sikap yang seimbang,bukan berat sebelah.Kaum wanita tidak boleh menolak peranan sebagai ibu kerana tiada siapa yang boleh menggantikan tempat mereka,bukan pengasuh ataupun nenek.Kaum lelaki tidak boleh menolak peranan sebagai bapa kerana sokongan dan penglibatan mereka amat bermakna kepada isteri dan anak-anak mereka.
Bekerjasama juga bererti menyokong dan menghargai antara satu dengan lain.Mesti ada kebebasan untuk melakukan apa yang diingini,contohnya,si isteri mengambil keputusan untuk tinggal di rumah mengasuh anak-anak,atau dia mahu keluar bekerja.Perkara-perkara seperti ini perlu dibincangkan dan masalah yang timbul diselesaikan bersama.Salah seorang tidak boleh mempunyai kuasa mutlak kerana perkahwinan itu adalah satu perkongsian bukan satu penguasaan yang tiada batas!
Sekiranya keadaan tidak berjalan dengan baik dan komunikasi diantara pasangan suami-isteri menjadi sukar,adalah wajar mendapatkan bantuan orang ketiga sebagai penasihat.Pasangan suami-isteri tidak perlu takut untuk membincangkan masalah mereka kerana perbincangan itu adalah satu langkah positif dalam usaha mereka untuk memperbaiki keadaan rumahtangga mereka.

Wai Leng,Mei 1998

MEKANISME KECEMERLANGAN KELUARGA DALAM ALAF BARU

MEKANISME KECEMERLANGAN KELUARGA
DALAM ALAF BARU
Dr. Harlina Halizah Hj Siraj
Ketua Wanita JIM Pusat sesi 1999/2001
(KWJY2K)
1. PENDAHULUAN
Alaf ketiga ini menjanjikan satu fasa yang penuh mencabar kewibawaan  manusia dalam mempertahankan survival dan kesinambungan hidupnya. Disebalik keghairahan mencatatkan lonjakan dalam keupayaan manusia menerawang segenap penjuru alam ciptaan Allah ini, tidak kurang pula timbulnya rasa cemas dan khuatir melihat kerapuhan manusia berpegang kepada perkara-perkara asas yang selama ini  menjadi faktor keseimbangan atau homeostasis interaksi kehidupannya dengan alam sekitar. Apa yang dulunya menjadi keutamaan atau `priority’ dalam lingkungan hayat insan, kini menjadi suatu agenda sampingan yang hanya diberikan perhatian sekiranya ada waktu yang terluang. 
Institusi keluarga adalah  satu contoh tepat yang menggambarkan anjakan keutamaan yang tersasar ini. Bilamana keluarga yang merupakan elemen asas dalam pembentukan masyarakat dan tamadun manusia tidak lagi menjadi fokus utama, berlakulah rentetan-rentetan peristiwa yang akan membawa kehancuran dan kepincangan sosial yang ketara. Apalah ertinya kemajuan teknologi dan kecanggihan sistem komunikasi yang tinggi sekiranya ianya bangun ditengah-tengah ketandusan akhlak, kebejatan moral dan keruntuhan nilai kemanusian itu sendiri.  Kertaskerja ini akan cuba membawa beberapa permasalahan yang harus direnungi bersama seterusnya mencadangkan beberapa langkah praktikal yang perlu diambil untuk memastikan institusi keluarga terus kekal menjadi tadahan dan takungan insan soleh wa musleh demi menjamin kebahagian hidup di dunia dan akhirat.
 
2. PENGERTIAN DAN FUNGSI  `KELUARGA
2.1 DEFINISI `KELUARGA’
Secara ringkas, `Keluarga’ ditakrifkan sebagai satu kelompok manusia yang mempunyai talian darah dan biologi sesama mereka.  Keluarga Asli  ( Original family) atau Keluarga nuklear ( Nuclear family ) ialah keluarga yang terdekat sekali dan ianya terdiri dari kedua ibu bapa serta anak-anak mereka. Sementara  Keluarga luas ( Extended family) merangkumi peribadi-peribadi seperti datuk, nenek, anak-anak saudara, ibu bapa  saudara dan sepupu.
2.2 TUJUAN DAN FUNGSI INSTITUSI KELUARGA MENURUT AL-QURAN DAN AS-SUNNAH
Prof. Khurshid Ahmad dalam bukunya `Family Life in Islam’ menyenaraikan TUJUH fungsi institusi keluarga berdasarkan Al-Quran dan as-Sunnah seperti berikut :
2.2.1 Pengekalan dan penerusan umat manusia
Kesinambungan kehidupan manusia bergantung kepada sejauhmana berkesannya proses pembiakan diantara lelaki dan wanita. Bertolak dari situ, perlu ada suatu struktur yang  mampu berfungsi dengan baik bagi memenuhi tujuan tersebut . Menurut Al-Quran seperti yang digambarkan dalam ayat pertama Surah An-Nisaa’, keluarga adalah sistem yang dapat mengendalikan sistem ini.(mafhum ayat )  :
`Hai sekelian manusia, bertaqwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari seorang diri, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya, dan daripada keduanya Allah memperkembang-biakkan lelaki dan perempuan yang banyak.’
2.2.2 Perlindungan akhlak dan tatasusila
Hidup berkeluarga mengawal kecenderungan tabii manusia kepada keinginan terhadap hubungan kelamin antara lelaki dan wanita. Kesedaran  dan rasa tanggungjawab mestilah menjadi asas utama dalam jalinan hubungan tersebut. Galakan Islam terhadap perkahwinan dan memulakan hidup berkeluarga jelas digambarkan didalam ayat kelima, Surah Al-Maidah (mafhum ayat)  :
`Dan dihalalkan kamu mengahwini wanita yang menjaga kehormatannya dikalangan wanita yang beriman.’
2.2.3 Kestabilan hubungan kerohanian, kebaikan dan kasih sayang
Keluarga didalam Islam merupakan pusat yang mengembangkan kasih-sayang, kebaikan, perlindungan, kehormatan, percaya-mempercayai, pengorbanan dan ketenteraman yang semuanya berlandaskan kepada kekuatan rohani. Firman yang menyentuh aspek ini tergambar dalam ayat –21, Surah Ar-Rum ( mafhum ayat ) :
`Dan diantara tanda-tanda kekuasaanNya, Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram dengannya, dan dijadikanNya diantara kamu kasih sayang. Sesungguhnya yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.’ 
2.2.4   Proses pembentukan dan pembinaan nilai
Keluarga adalah  institusi pendidikan asas bagi setiap manusia. Bukan hanya anak-anak yang dibesarkan didalam sesebuah keluarga itu yang harus mendapat pendidikan dan dibentuk  sikap dan nilai hidupnya, malahan seringkali juga, ibu bapa selaku orang dewasa mendapat pengajaran dan didikan yang berterusan. Pendidikan yang didasarkan dengan sikap tanggungjawab ini dijelaskan melalui ayat keenam dari Surah At-Tahrim (mafhum ayat) ;
`Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.’
2.2.5 Jaminan sosial dan ekonomi
Insitusi keluarga merupakan satu institusi yang menjamin keselamatan sosial dan ekonomi sesebuah masyarakat. Tugas menyara isteri dan anak-anak diletakkan dibahu kaum lelaki dan ianya mestilah dilaksanakan sebaik mungkin.
Surat An-Nisa’ ayat ke-34 menggariskan tanggungjawab ini ( mafhum ayat ) :
` Kaum lelaki adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab keatas kaum wanita’
2.2.6 Meluaskan kaum kerabat serta mewujudkan kekuatan sosial dalam masyarakat
Institusi keluarga juga memperluaskan bidang kekerabatan dan silaturrahim di kalangan umat. Dengan penyatuan antara kedua insan yang datang dari kelompok, tempat dan budaya yang berbeza, perkahwinan dapat mengukuhkan lagi hubungan persaudaraan sesama insan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
` Ikatan perkahwinan (antara dua keluarga dan bangsa ) menambahkan persaudaraan lebih dari segala sesuatu’
2.2.7 Keazaman berusaha dan meningkatkan diri
Rasa tanggungjawab menyara keluarga menjadikan kaum lelaki yang bergelar suami dan bapa berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan tahap pencapaian sosial dan ekonomi mereka. Sesuai dengan firman Allah dalam Surat An-Nuur ayat ke-32 ( mafhum ayat ) :
` Dan kahwinkanlah orang-orang yang bersendirian dikalangan kamu dan orang-orang yang layak diantara hamba-hambamu lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memampukan mereka dengan kurniaNya. Dan Allah Maha Luas pemberianNya lagi Maha Mengetahui.’
 
3. KELUARGA YANG CEMERLANG DAN EFEKTIF
Penulis lebih berminat untuk menakrifkan kecemerlangan sesebuah keluarga dari perspektif keberkesanannya dalam menjalankan fungsi-fungsi serta tujuan pembentukan keluarga itu seperti yang dihuraikan didalam bahagian 2.2 diatas.
Kecemerlangan keluarga tidaklah harus disamakan dengan sebanyak mana kemewahan dan kekayaan matabenda yang ada semata-mata, mahupun dengan mengira betapa ramainya atau sedikitnya anak yang lahir dalam keluarga tersebut. Kecemerlangan sesebuah keluarga akan terserlah melalui budaya hidup setiap ahlinya dalam berinteraksi sesama mereka, yanng saling bergantungan untuk menyuburkan perasaan kasih sayang, hormat dan saling percaya mempercayai. Sebuah keluarga yang EFEKTIF akan mampu menyediakan sebuah taman perlindungan atau `sanctuary‘  bagi setiap ahlinya dari badai dan taufan kehidupan luar yang melanda setiap masa. Profesor Madya Dr. Muhammad Hatta Shaharom telah menggariskan beberapa perbezaan yang ketara diantara `Keluarga Yang Tidak Berfungsi’ dengan ` Keluarga Yang Berfungsi’ di dalam buku beliau bertajuk `Psikologi Keluarga – Ke Arah Rumahtangga Bahagia ‘  ( sila rujuk Jadual [1] di bawah )
JADUAL 1 : PERBANDINGAN  `KELUARGA YANG TIDAK BERFUNGSI’ DENGAN `KELUARGA YANG BERFUNGSI ‘
 

KELUARGA YANG TIDAK BERFUNGSI
KELUARGA YANG BERFUNGSI
1. KOMUNIKASI
Tidak jelas
Tidak langsung
Tidak khusus
Tidak selari 
Jelas
Langsung
Khusus
Selari
2.KEPUTUSAN-KEPUTUSAN
Terbantut & tidak lancar 
Dijamin untuk semua; perbezaan –perbezaan individu bukan sahaja diterima malah merupakan rangsangan untuk perkembanan selanjutnya.
3. NATIJAH - NATIJAH 
- Dilakukan diatas asas `pergelutan kuasa’. Siapa yang kuat adalah lebih mustahak daripada apa yang benar dan lebih sesuai
- Porak peranda dan tidak boleh dijangkakan
- Dilakukan diatas pertimbangan masalah yang dihadapi; apa yang benar dan sesuai adalah dianggap lebih mustahak dari siapa yang kuat
- Teratur kemas dan boleh dijangkakan
4. RESPONS TERHADAP TUNTUTAN UNTUK BERUBAH
 Semua tuntutan keatas sistem yang `rigid’  akan mengakibatkan tekanan dan gejala gangguan jiwa
Sistem keluarga yang `flexible’ atau anjal kepada perubahan sebagai respon kepada tuntutan persekitaran dan gejala gangguan jiwa tidak wujud
4. CABARAN DAN HALANGAN  KEPADA  PEMBENTUKAN KELUARGA CEMERLANG DAN EFEKTIF
4.1 CABARAN LUARAN 
4.1.1 Sistem hidup dan kerjaya yang tidak `mesra-keluarga’ ( family-friendly) 
Hari ini, kebanyakan kerjaya tidak memberikan keutamaan kepada tanggungjawab individu terhadap keluarganya. Kesibukan kerja sering menyebabkan keluarga terabai dan terbiar, terutamanya bila seseorang itu perlu bertugas jauh dari keluarga dalam tempoh yang agak lama. Wanita berkerjaya berhadapan dengan dilemma dalam memberikan tumpuan yang seimbang kepada kerjaya dan keluarga. Sistem nilai dan kerjaya yang ada tidak membantu individu untuk meletakkan keluarga sebagai keutamaan.
4.1.2 Persepsi masyarakat terhadap keluarga
Sekalipun masih ramai diantara kita yang beranggapan keluarga adalah unit asas bagi membentuk sesebuah masyarakat, namun masyarakat hari ini secara amnya tidak memandang tinggi usaha-usaha pengurusan keluarga dan rumahtangga. Wanita yang tidak menjawat pekerjaan di luar rumah dianggap tidak produktif dan progresif. Ini menyebabkan berbondong-bondong wanita terjun sama dalam bidang pekerjaan, tanpa benar-benar memastikan keluarga mereka sentiasa terurus dan teratur. 
4.1.3 Tarikan sekitaran dan kesannya keatas anak-anak
Duapuluh tahun yang  lalu, keluarga masih mampu mengawal dan mengawasi geraklaku anak-anak terutamanya yang semakin meningkat remaja. Namun hari ini, dengan perkembangan sains teknologi dan maklumat yang canggih serta persaingan sengit dalam setiap aspek kehidupan, anak-anak remaja semakin renggang serta jarang berinteraksi dengan ahli-ahli keluarga yang lain terutamnya ibu dan bapa mereka. Akibatnya keluarga tidak lagi mampu berfungsi mengawasi dan mengawal tingkahlaku anak remaja. 
 
4.2 HALANGAN DALAMAN
4.2.1 Kurangnya ilmu dan pengetahuan mengenai tanggungjawab dan kemahiran  keibubapaan ( Parenting skills )
Kebanyakan ibu bapa hari ini hanya merasakan tanggungjawab  mereka adalah sekadar memberikan kelengkapan jasmani kepada ahli keluarga yang lain semata-mata. Ini mendorong kepada budaya materialisme yang berakar umbi dan menjadi keutamaan didalam sesebuah keluarga tersebut disamping mengetepikan aspek-aspek kemanusian dan emosi yang amat penting dalam pembentukan sahsiah insan.
4.2.2 Kurangnya kemahiran berkomunikasi
Ibu bapa hari ini tidak berkomunikasi dengan baik terutamanya dalam perkara-perkara yang memerlukan komitmen kedua-duanya. Ramai yang mengambil mudah aspek komunikasi ini. Akibatnya banyak berlaku salah faham yang berlarutan yang boleh membawa kepada keretakan perhubungan dalam keluarga.
4.2.3 Kurang masa bersama sekeluarga
Dengan kesibukan hidup seharian, keluarga jarang bersama-sama kecuali semasa cuti hujung minggu sahaja. Akibatnya, interaksi sesama ahli menjadi hambar dan tidak berkembang. Suami isteri menjadi seolah-olah dua individu asing yang tidak kerap bertukar pendapat. Malahan terdapat individu yang tidak sabar untuk kembali bekerja semata-mata untuk bertemu semula dengan rakan-rakan di pejabat yang lebih mesra dan tidak membosankan jika dibandingkan pasangan dan anak-anak kecil mereka di rumah. Mungkin ramai yang ingin menafikan perkara ini,, namun itu adalah  hakikatnya!
 
 
5. MEKANISME DALAM MEMBENTUK KELUARGA (USRAH) YANG EFEKTIF DAN CEMERLANG
Untuk membincangkan perkara yang penting ini, penulis akan banyak merujuk kepada buku karangan Dr. Stephen R. Covey yang berjudul `The Seven Habits of Highly Effective Families’. Pengolahan akan dibuat untuk menyesuaikan aspek-aspek yang dihuraikan dengan tuntutan Islam serta budaya kehidupan kita yang sedia ada. 
5.1 MEKANISME PERTAMA : 
MELETAKKAN KELUARGA SEBAGAI `KEUTAMAAN NOMBOR WAHID’
Sesungguhnya amatlah besar tanggungjawab memimpin sesebuah rumahtangga dan keluarga seperti yang digambarkan didalam firmah Allah SWT dalam Surah At Tahrim ayat 6 yang bermaksud : 
` Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.’
Sesuai dengan tanggungjawab tersebut, keluarga mestilah diletakkan sebagai keutamaan yang paling atas dalam senarai tugas seorang mukmin. Tidak cukup hanya dengan menyebutnya dibibir sahaja, ibu bapa haruslah dilihat mengutamakan keluarga dari setiap aspek perbuatan, pemikiran dan interaksi. Sekiranya kita bertungkus lumus bekerja seharian  mencari nafkah untuk keluarga, tidaklah boleh keluarga itu pula dipinggirkan dalam keghairahan kita mengejar peluang dan kekayaan. Ingatlah pesanan Goethe : `Things which matter MOST must never be at the mercy of things that matter LEAST’
 
5.2 MEKANISME KEDUA :
MERUBAH SIKAP DAN MENTALITI `KEAKUAN’ KEPADA BUDAYA PEMIKIRAN KOLEKTIF `KEKAMIAN’ DAN `KEKITAAN’
Hidup berkeluarga sering disamaertikan dengan perkongsian hidup.  Perubahan dari gaya berfikir secara `aku’ kepada mentaliti `kami dan kita’ yang sebenarnya melambangkan anjakan dari kebebasan kepada hidup saling bergantungan, adalah aspek paling mencabar dan sukar dalam sebuah kehidupan berumahtangga. Dalam melayari kehidupan berkeluarga, kebahagiaan orang lain adalah juga kebahagiaan kita.  Amatlah sukar jika setiap ahli didalam keluarga tersebut hanya menginginkan kebahagiaan peribadi, tanpa sikap tolak ansur dan hormat-menghormati. Renungilah pendapat seorang penulis Barat, JS Kirtley : ` Married life can never be what it ought to be while the husband or wife makes personal happiness the main object.’ 
5.3 MEKANISME KETIGA :
BERSIKAP PROAKTIF MENGENALI DAN MENEROKAI  POTENSI DIRI DAN AHLI KELUARGA
Peribahasa Melayu ` Tak kenal maka tak cinta ‘ sememangnya membawa banyak kebenaran dan makna. Keluarga harus dibina diatas landasan `perkenalan’ atau taa’ruf yang ikhlas dan jujur. Hanyalah dengan mengenali peribadi, kekuatan dan kelemahan seseorang itu, barulah kita mampu memahami mengapa dan kenapa individu tersebut mengambil sikap tertentu untuk bertindakbalas terhadap sesuatu keadaan dan masalah.  Seringkali, manusia bertindak secara reaktif mengikut emosi terhadap sesuatu situasi dan mengambil tindakan yang kurang bijak dan akan menimbulkan penyesalan kemudiannya. Namun, sekiranya kita mengambil masa untuk memikirkan terlebih dahulu bagaimana untuk bertindakbalas terhadap sesuatu rangsangan, kita akan mampu bertindak mengikut prinsip dan nilai yang sebenar, dan inilah yang dinamakan tindakan proaktif. 
5.4 MEKANISME KEEMPAT :
MEMBENTUK `PERNYATAAN MISI’ KELUARGA
Mungkin ramai diantara kita yang merasakan misi keluarga Islam amatlah jelas, iaitu untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT yang seterusnya menjanjikan  kebahagian hakiki dunia dan akhirat. Namun mengapakah misi tersebut seolah-olah kabur dan tidak dikongsi bersama oleh setiap ahli keluarga, hinggakan sering terdapat anak-anak yang telah diberikan didikan dan asas agama yang cukup, masih sanggup melakukan maksiat dan perlanggaran terhadap perintah Allah? Amatlah penting supaya misi ini sama-sama dihayati oleh setiap ahli. Untuk dapat menghayatinya, ahli-ahli keluarga haruslah merasakan misi itu datang dari mereka sendiri dan bukannya  semata-mata  digariskan melalui  kuasa  veto  seorang bapa atau ibu. Sebagaimana juga proses menghasilkan penyataan misi bagi sebuah organisasi perniagaan, ahli keluarga juga haruslah sama-sama menyumbang untuk membentuk pernyataan misi yang unik untuk keluarga tersebut. Berikut adalah satu contoh pernyataan misi sebuah keluarga yang terdapat didalam buku Dr. Stephen Covey :
`Our FAMILY MISSION :
To always be kind, respectful and supportive of each other,
To be honest and open with each other,
To keep a spiritual feeling in the home,
To love each other unconditionally,
To be responsible to live a happy, healthy and fulfilling life,
To make this house a place we all want to come home to.
5.5 MEKANISME KELIMA :
MEMAHAMI KONSEP AKAUN BANK EMOSI
( EMOTIONAL BANK ACCOUNT )
Akuan Bank Emosi mewakili kualiti hubungan seseorang dengan individu lain. `Deposit’ kedalam akaun ini adalah perkara-perkara yang dibuat secara proaktif untuk menambahkan kepercayaan dalam sesuatu hubungan, sementara `Pengeluaran( withdrawal )’ adalah perkara-perkara yang dilakukan secara reaktif yang akan menghakis kepercayaan dalam sesuatu perhubungan. Imbangan antara deposit dan pengeluaran dalam akaun ini akan menggambarkan kualiti hubungan yang terjalin diantara dua individu. Setiap ahli keluarga terutamanya ibu dan bapa haruslah mampu mengimbangi akaun ini dengan baik setiap masa dan keadaan. 
JADUAL 2 : CONTOH  TINGKAHLAKU `PENGELUARAN’ DAN `DEPOSIT’
 
TINGKAHLAKU   KATEGORI `PENGELUARAN’
TINGKAHLAKU  KATEGORI
`DEPOSIT’
* Bercakap kasar dan tidak bersopan santun, mencaci & memaki hamun
* Tidak pernah meminta maaf @ tidak ikhlas mengatakan `maaf’
* Sering mengkritik dan mengumpat keji ahli keluarga lain semasa mereka tiada
* Tidak membuat sebarang komitmen kepada ahli keluarga
* Senang berdendam dan mudah bersangka buruk ? Berbudi bahasa dan menggunakan kata-kata yang baik
* Senang memohon kemaafan jika berlaku kesilapan
*  Sentiasa bertindak membela dan bersangka baik
? Membuat dan menepati janji
 
? Mudah memaafkan



 
6. KESIMPULAN
Tiada satupun keluarga yang cemerlang dan efektif boleh mendakwa bahawa kecemerlangan itu datang bergolek tanpa sebarang pengorbanan dan sikap tolak ansur. Malahan setiap individu yang mahu menikmati kehidupan berkeluarga yang berkualiti mestilah mula mengadakan muhasabah dan `post-mortem’ diatas setiap masalah dan kesulitan yang dihadapi dalam rumahtangga. Anjakan paradigma haruslah dimulakan oleh ahli yang paling dominan dalam keluarga tersebut. Semoga dengan niat dan kesungguhan yang ikhlas, kita akan mampu membina keluarga yang efektif dalam memainkan peranan utama menjana keperibadian insan soleh wa musleh di alaf akan datang.
Renungilah kata-kata Michael Novak ini sebagai penutup kepada kertas kerja ini :
` Being married and having children has impressed on my mind certain lessons, for whose learning I cannot help being grateful. Most are lessons of difficulty and duress. Most what I am forced to learn about myself is not pleasant……My dignity as a human being depends perhaps more on what sort of husband and parent I am, than on any professional work I am called upon to do. My bonds to my family hold me back ( and my wife even more) from many sorts of opportunities. And yet these do not feel like bonds. They are, I know, my liberation. They force me to be different sort of human being, in a way which I want and need to be forced.’
Wallahua’lam

BIBLIOGRAFI :
1. Al Quranul Karim
2. Covey S.R. The Seven Habits of Highly Effective Families. Great Britain : Franklin Covey,  1997
3. Hatta S.M. Psikologi Keluarga : Ke Arah Rumahtangga Bahagia. Kuala Lumpur : Pustaka Salam, 1989
4. Norizan S. Belaian Kasih. Kuala Lumpur : Vinlin Press, 1993
5. Urwah A. Risalah Usrah, Jilid 2 : Wanita & Kekeluargaan. Kuala Lumpur : Pustaka Salam, 1986

Mahu di sayangi Suami??


Kalau adalah seorang isteri mengatakan dia tidak mengharap kasih sayang dari suaminya, itu bermakna dia telah berbohong. Sebab, memang tidak ada seorang manusia pun yang tidak ingin dikasihi oleh orang lain kecuali orang gila. Tapi sayang, suami isteri hari ini kebanyakannya renggang hati mereka, tipis kasih sayang mereka dan selalu bermasam muka. Malah perceraian menjadi perkara biasa. Ertinya ramai sekali wanita kita yang sedang menderita. Kenapa isteri gagal menjadikan suami sangat menyintainya hingga tidak mahu berpisah dengannya? Inilah persoalan yang mesti dijawab oleh semua wanita hari ini. Mudah-mudahan jawapan ini dapat memberi jalan penyelesaian pada masalah yang mengancam keamanan di dalam rumahtangga.

Mula-mula sekali tanya kenapa seorang lelaki sanggup berbelanja beratus malah beribu ringgit atau berjuta-juta Rupiah semata-mata untuk mendapatkan seorang isteri? tentu kerana untuk mengisi permintaan hati (fitrah)nya yang ingin kepada belaian dan penyerahan seorang wanita, layanan dan kemanjaan serta pengurusan dirinya oleh isteri dan lebih jauh dari itu untuk mendapatkan anak dan keriangan dalam rumahtangga. Semua itu adalah tuntutan semulajadi yang ada dalam diri semua lelaki dan tidak boleh tidak, wajib dipenuhi. Kalau tuntutan itu tidak diisi, jadilah kekosongan dan kesyunyian dalam ruang dada si suami itu.

Kalau begitu tiadalah bermakna lagi rumahtangga, isteri dan anak-anak padanya. Suami tidak akan bahagia dan hatinya tidak akan tenang sekalipun rumahnya besar, wangnya bertimbun dan dililiti dengan segala kemewahan. Untuk mengisi dan menunaikan kemahuan hati suami, para isteri perlu menjawab soalan ini;

  1. Setiap masa ketika suami di rumah, adakah anda melayan keperluan dan kemahuannya serta memberi sepenuh perhatian dalam urusan itu?

  1. Setiap kali ketika suami pulang ke rumah, adakah anda menantinya dan menyiapkan untuknya apa sahaja yang diperlukan?

  1. Rumahtangga dan anak-anak, sudahkah anda jaga begitu teratur dan kemas hingga tiada satu sudut di dalamnya yang boleh mencacatkan hati suami bila memandangnya?

  1. Sikap anda, percakapan anda, kasih sayang dan gerak-geri anda, adakah semuanya menampakkan pada suami bahawa anda benar-benar merelakan dan menyerahkan sepenuh ketaatan dan kesetiaan hanya padanya?

Kalaulah anda gagal untuk mengiakan semua pertanyan di atas, bermakna anda seorang isteri yang sedang atau telah gagal.

Sesungguhnya tiada seorang suami pun di dunia ini yang suka hati kalau isteri tidak melayani kehendaknya. Tidak ada seorang suami pun yang suka hati bila didapati isteri tiada di rumah ketika dia keletihan pulang dari kerja. Tidak akan terhibur hati suami kalau rumahtangga dan anak pinak berkecamuk, tidak terurus. Tidak akan bahagia suami yang berdepan dengan sikap dan cakap-cakap isteri yang tidak menumpukan sepenuh kasih sayang padanya. Bertambah-tambah tidak bahagia lagilah bagi seorang suami itu bila isterinya lebih menjaga kepentingan diri sendiri dari memenuhi kehendak dan kemahuan suami. Dalam keadaan itu isteri mesti memuliakan suami dan memandang tinggi padanya, di samping merasakan diri sendiri memerlukan suami dan rela untuk berkhidmat serta taat sepenuhnya padanya. Pandangan dan sikap begini amat penting kerana darinya akan lahir sikap tolak ansur, kerjasama dan kasih sayang antara suami isteri. Sebaliknya kalau isteri beranggapan suami setaraf dengannya, tiada keistimewaan apa-apa, tidak perlu dimulia dan dipandang tinggi, apalagi untuk diberi perkhidmatan dan ketaatan sepenuh masa. Maka itulah punca utama terjadinya ketegangan dalam rumahtangga. Bila isteri mahu bertindak macam suami, terjadilah cerita dalam satu kapal mempunyai dua orang nakhoda. Saling tarik-menarik dan akhirnya pecah lalu karam. Adalah mustahil suami akan reka dia di control oleh isteri. Bukan hati lelaki namanya kalau suami meminta dia diarah dan diperintah oleh isteri. Sedangkan perempuan hatinya kalau bersih dari nafsu, memang rela menyerahkan apa saja khidmat pada suami.

Tanyalah hati masing-masing adakah suka berhias untuk suami? Tentu ôyaö jawabnya. Maka begitulah dalam soal yang lain, hati perempuan memang rela untuk dia digunakan oleh suaminya. Tiada pilihan lain bagi isteri untuk dapatkan kasih sayang suami dan kebahagiaan rumahtangga, kecuali meletakkan dirinya sebagai ôhakö suami dan rela untuk berkhidmat pada bial-bila masa. Untuk itu, mungkin berbagai-bagai pengorbanan perlu dibuat misalnya: Memasak sendiri di rumah, dengan masakan yang boleh memuaskan hati suami. Menjaga anak-anak dengan pendidikan yang sebaik-baiknya. Menjaga kesihatan diri, kemudaan dan kebersihan badan supaya sentiasa diminati suami. Membina akhlak yang mulia semoga dengannyalah suami akan terhibur dan terelak dari rasa marah dan tawar hati. Pendek kata, isteri mempunyai peranan yang cukup besar dalam membina rumahtangga bahagia. Isteri yang bijak, berilmu dan tahu cara-cara membentuk kebahagiaan sahaja yang berjaya. Perlu sangat diinsafi bahawa kasih sayang dan ketenangan hati suami isteri adalah kurniaan Allah swt. Ertinya, ia bukan bikinan manusia yang boleh dibuat-buat, direka dan dirancang-rancang. Sebab soal kasih sayang dan ketenangan adalah soal hati, yang bergerak dan hidup tanpa kawalan lahiriah dan kebendaan. Ia dikawal sendiri oleh Allah swt, secara ghaib dan menggunakan syarat-syarat yang Allah sendiri tentukan. Jadi, untuk mencetuskan kasih sayang dan ketenangan rumahtangga, faktor-faktor hubungan dengan Allah adalah wajib diambil kira.

Yakni dengan beriman, beramal dengan syariat Islam serta membanyakkan ingatan (zikir) kepada Allah swt. Suami isteri yang membelakangkan Allah swt adalah pasangan yang sukar untuk memperolehi ketenangan dan kasih sayang. Hati mereka berpecah, kepercayaan antara satu sama lain hilang dan rasa persefahaman kian luput hari demi hari. Walaupun usaha-usaha lahir yang mungkin sudah cukup dilakukan untuk membina kebahagiaan tetapi selagi hati masih kosong dari mengingati Allah, cuai menjalankan perintah-perintah Allah maka selama itu kasih sayang tidak tumbuh dalam erti kata yang sebenarnya. Sebab kasih sayang adalah pemberian Allah, dimasukkan ke dalam hati suami isteri yang benar-benar taat dan patuh padanya. Barangkali sukar untuk diakui hakikat ini memandangkan realiti kehidupan rumahtangga yang berbagai-bagai dan tidak terikat pada kenyataan di atas. Orang kafir yang tidak percayakan Allah itu kekal rumahtangganya.

Orang Islam yang tidak sembahyang pun ada yang berbahagia nampaknya. Sementelahan rumahtangga ahli agama pun kadang-kadang berkecai. Jadi apa bukti bahawa punca ketenangan dan kasih sayang ialah ketaatan kepada Allah? Sebenarnya, untuk mengukur benar tidaknya sesuatu kenyataan itu tidaklah boleh hanya menggunakan satu kaedah saja. Sebab Allah swt telah mentakdirkan sesuatu, bukan dengan satu maksud sahaja. Setengah orang kafir beroleh bahagia di dunia kerana Allah mahu merasakan nikmat yang tidak mungkin mereka dapat di akhirat. Orang Islam yang tidak sembahyang dan tidak fikir halal dan haram nampak bahagia juga. Ini adalah kemurkaan Allh sudah tertimpa ke atas mereka dan dengan nikmat itu Allah mahu melalaikan mereka terus menerus hingga mati betul-betul dalam dosa dan terus ke neraka. Manakala ahli agama kadang-kadang pecah rumahtangga mereka, Allah bermaksud menguji dan mahu menghapus dosa-dosa mereka. Maka saya tegaskan sekali lagi, bahawa sumber kasih sayang yang abadi ialah ketaatan kepada Allah oleh suami dan isteri serta anak-anak mereka. Perceraian yang menjadi-jadi dewasa kini adalah berpunca dari tidak taatnya pasangan suami isteri kepada Allah swt. Allah jadikan hati mereka berpecah belah hingga mereka takut pada perceraian tetapi mereka tidak dapat lari darinya. Biarpun rumah besar, harta banyak, kesihatan sempurna dan dunia serba lengkap meliputi mereka, tapi kalau hati berpecah, semua itu tidak boleh mengikat suami isteri itu lagi. Mahu tidak mahu mereka kenalah mengadap Allah swt. Mengaku taat setia padanya dengan tawadhuk. Memohon ketenangan dan kasih sayang untuk hati mereka...

KELUARGA AGAMA DAN PERUBAHAN

 KELUARGA AGAMA DAN PERUBAHAN

disampaikan oleh
MOHAMED HATTA SHAHAROM
Presiden JIM (1999-2001)
pada
Seminar Agenda Keluarga Untuk Perubahan
di
Kota Bahru
18-19 Ogos 2000
18-19 Jamadilawal 1421
 
 
 “….aku hanya menginginkan al islah dengan sebaik-baik kekuatanku; dan taufiq yang akan aku perolehi hanya datang daripada Allah; kepada-Nya aku bertawakal; dan kepada-Nya aku kembalikan pandangan.”
(Hud 11: 88)

1.0 MUKADIMAH
Keluarga merupakan sebuah institusi kemasyarakatan yang menunjangi perubahan masyarakat. Institusi kekeluargaan berkait langsung dengan konsep kemasyarakatan yang dihayati. Contohnya, di dalam sebuah masyarakat yang tradisional, sistem kekeluargaan juga difahami dan diperkukuhkan secara tradisional. Sebaliknya, semakin banyak keluarga yang menghayati ciri-ciri yang bukan tradisional, semakin cepatlah masyarakat yang ditunjanginya itu meninggalkan cara hidup tradisional.
 
2.0 YANG TETAP DAN YANG BERUBAH
Apa yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. dalam peranan ahli-ahli keluarga, khususnya bagi kedua-dua suami isteri dan ibu bapa, mestilah dihormati dan dihayati. Ia tidak boleh berubah, kerana perubahan bermakna kehancuran dan kepincangan dalam fungsi kekeluargaan. Ini adalah pendekatan yang ortodoks tetapi tahan diuji zaman terhadap institusi ini. 
Prinsip kefungsian kekeluargaan yang tidak berubah inilah yang sebenarnya menjadi asas kekuatan untuk membawa perubahan kepada masyarakat. Semasa menjadi agensi perubahan masyarakat, ia sepatutnya sudah menjadi ejen pengubah untuk ahli-ahlinya sendiri.
Apakah sebenarnya yang mahu diubah? Dan mengapa pula perlu perubahan?
Setiap insan dan keluarganya merupakan kelompok yang sentiasa terdedah kepada pengaruh-pengaruh perubahan, tidak kira baik atau pun buruk. Sebab itulah jika perubahan ke arah kebaikan tidak diusahakan oleh keluarga yang baik, pastinya perubahan yang buruk akan cepat melanda keluarga itu dalam masyarakat yang terus terdedah kepada pengaruh-pengaruh positif dan negatif era globalisasi ini.
 
3.0 AGAMA DAN PSIKOTERAPI
Perbincangan tentang keluarga tidak boleh dipisahkan daripada perbincangan tentang terapi keluarga; dan segala isu tentang psikoterapi tidak boleh dipisahkan daripada perbincangan tentang psikoterapi. Sebagai satu proses profesional untuk membantu manusia yang memerlukan pertolongan terapi, ia mempunyai perhubungan yang terus dengan pengamalan psikologi. 
Pernyataan berikut mengenai psikologi moden menggambarkan keadaan sebenar pengalaman psikologi di Barat yang tidak mempedulikan prinsip kerohanian dan keagamaan.
Ironically psychology, which comes from the Greek “study of the soul,” stopped studying the soul in this century.
(Istilah psikologi yang datangnya dari istilah Yunani yang bermakna “ilmu kajian tentang jiwa-roh”, telah berhenti mengkaji jiwa-roh pada kurun ini.) (Carney, 1996)1
Pada kurun ke-20, di Amerika, agama dan psikoterapi berada di dalam keadaan terpisah dan menjadi dua alam yang berlainan. Dalam penulisannya pada tahun 1927, kebencian Sigmund Freud terhadap agama (yang dianggapnya tidak lebih daripada satu ilusi yang membawa keselesaan) telah merupakan suatu pengaruh yang menyebabkan agama dinyahkan daripada teori dan pengamalan psikoterapi.
Sebaliknya Carl Jung (bekas murid Freud yang meninggalkan mazhab gurunya) dalam penulisan-penulisannya pada tahun-tahun 1933 merupakan di antara para pemuka ahli teori dan terapi yang percaya  bahawa penyembuhan jiwa manusia memerlukan hubungan kembali dengan roh dan pandangan keagamaan.
Dalam bidang terapi keluarga, Prest dan Keller (1993) mendapati kekurangan di dalam bahan rujukan  yang berkaitan dengan pendekatan kerohanian dan keagamaan, seperti juga dalam bidang kesihatan mental yang lebih luas. Namun, tidak dapat dinafikan bahawa minat terhadap pendekatan kerohanian ini semakin ketara di kalangan ahli-ahli terapi keluarga, walaupun ramai di antara mereka yang tidak mempunyai kemahiran yang tinggi.
Sehubungan dengan itu, peranan keimanan, sembahyang, meditasi dan upacara-upacara keagamaan mestilah difahami. Usaha untuk menerapkan pendekatan kerohanian di dalam penilaian keluarga perlu mengambil kira beberapa panduan seperti berikut:
  • Sepenting manakah sokongan keimanan, amalan agama dan sokongan berjemaah di dalam kehidupan klien?
  • Ke tahap manakah ahli-ahli keluarga menghayati sesuatu orientasi kerohanian dan keagamaan. Bagaimanakah perbezaan di kalangan mereka dikendalikan dan diterima?
  • Bagaimanakah perbezaan agama di dalam sebuah perkahwinan dan keluarga menjana ketegangan, konflik dan perpisahan?
  • Jika wujud perkahwinan di antara dua peribadi yang berlainan agama, adakah ia disokongi oleh kedua-dua buah keluarga? Adakah kekesalan menyusul?
  • Apakah konsep klien tentang perkahwinan dan keluarga yang ideal? 
  • Bagaimanakah mereka melihat masa depan mereka di sudut pencapaian kerohanian yang diingini?
  • Bagaimanakah kepercayaan kerohanian selama ini menyumbang ke arah penyelesaian atau menyekat perkembangan yang diperlukan?
  • Bagaimanakah dugaan kehidupan mengesani penghayatan kerohanian?
  • Bagaimanakah sumber kerohanian dapat digunakan ke arah penyelesaian masalah dan menyedarkan klien tentang apa yang tidak dapat diubah.2


4.0 AHLI TERAPI ISLAM
Dalam dua dasawarsa kebelakangan ini, di kalangan para ahli terapi beragama Islam, semakin ramai yang berminat dengan sikap yang bersungguh-sungguh untuk menghayati cara-cara terapi Islam.3 Ini merupakan petanda yang amat baik bagi umat ini, walaupun pencapaian profesionalisme dalam usaha ini masih memerlukan pembaikan. Ini sudah pasti merangkumi pelbagai jenis terapi termasuk terapi keluarga.
 
5.0 KELUARGA BARU
Contoh perubahan besar yang dilakukan oleh sesebuah keluarga atau seorang individu ialah apabila agama lama ditinggalkan. Mereka yang bertukar agama mengalami perubahan hidup yang mencabar. Usaha menukar agama merupakan fenomena yang sensitif bagi ramai manusia. Kesensitifan ini boleh membawa kepada tekanan jiwa yang sukar ditanggungi jika individu berkenaan tidak mempunyai ketahanan diri yang ampuh.
Dalam Islam, perubahan agama membawa harapan yang tinggi. Bagi mereka yang membuat kebaikan sebelum Islam, hadis Baginda s.a.w. tentangnya amat relevan.
Telah berkata Hakiim bin Hizaam:
“Wahai Rasulullah, apakah fikiranmu tentang perbuatan-perbuatan baik yang telah aku lakukan pada zaman jahiliah seperti melakukan kebaikan kepada saudara-mara, memerdekakan hamba dan memberi sedekah; adakah aku akan menerima pahla kerananya itu?”
Berkata Hakiim, Rasulullah s.a.w. menjawab:
“Kamu menjadi Muslim bersama-sama amalan baikmu (Aslamta ‘alaa maa salafa min khairin).”4
 
6.0KELUARGA TANPA KEBAHAGIAAN
Untuk menjana perubahan yang positif, sebuah keluarga mestilah mempunyai kebahagiaan. Kerana kebahagiaan adalah manifestasi kerukunan rumahtangga. Kebahagiaan juga mencerminkan keimanan yang subur melata dalam jiwa ahli-ahli keluarga. Bersekali dengan kebahagiaan ialah keredaan dalam tugas-tugas kekeluargaan yang membina yang nanti akan diterjemahkan ke dalam masyarakat sebagai usaha-usaha positif juga. 
Namun, lembaran-lembaran sejarah manusia sarat dengan kisah-kisah keluarga yang tidak bahagia. Pada asasnya, amatlah sukar untuk keluarga-keluarga seperti ini menjadi ejen perubahan ke arah kebaikan yang berwibawa. 
Seringkali didapati dari kalangan keluarga-keluarga yang tidak bahagia, ahli-ahli yang sukar berhubung baik dengan orang lain. Terdapat di dalamnya individu-individu yang ego-centric dan narcissistic yang hanya mementingkan dirinya saja. Dalam tindakan mereka seharian hemah diri tidak terserlah di dalam interaksi dengan masyarakat. Mereka mudah pula melakukan tindakan-tindakan yang merugikan masyarakat tanpa diri merasa malu atau bersalah.
Mereka hilang rasa malu, tepat seperti apa yang disabdakan oleh Nabi tercinta s.a.w.
Abu Mas‘ud ‘Uqbah bin ‘Amru Al Anshari Al Badri r.a. telah berkata:
“Rasulullah s.a.w. telah bersabda: 
“Bahawasanya setengah yang didapati manusia dari perkataan nabi yang terdahulu ialah apabila engkau tidak malu maka kerjakanlah apa yang engkau kehendaki.””
(Al Bukhari)5
 
7.0PROLOG
Persiapan untuk memainkan peranan mengubah ke arah kemuliaan akhlak dan kebaikan amal ini mestilah bermula dari sekarang. Ia tidak boleh dilengah-lengahkan. Biarlah usaha itu dilakukan secara perlahan-lahan tetapi perkembangannya pasti dan meyakinkan; sedikit-sedikit menjadi bukit. Kalau hendak ditangguh kemudian apabila diri mempunyai masa yang lebih selesa dan tidak diisi aktiviti yang menyebokkan, fikirkanlah hikmah madah seorang penyair Arab:
Famaa qadhaa ahadun lubaanatahu
Wa ma’ntahaa arabun illaa ilaa arabi
(Tidak pernah selesai keperluan manusia dari  dunianya, 
melainkan bila selesai yang satu berpindah pula kepada yang lain.)6
 
8.0 DOA PENUTUP
Dan tidaklah mereka berkata melainkan: “Tuhan kami, ampunkan dosa-dosa kami dan apa saja yang kami lakukan yang melampaui tanggungjawab kami; tetapkan pendirian kami, dan tolonglah kami berdepan dengan mereka yang kufur.”
                                                                         (Aali ‘Imraan 3: 147)



1 Richard C. Schwatrz Releasing the soul: psychotherapy as a spiritual practice. Dalam Froma Walsh, ed. Spiritual resources in family therapy. New York, Guilford, 1999: 228.
2 Froma Welsh. Opening family therapy to spirituality. Dalam Froma Walsh, ed. Spiritual resources in family therapy. New York, Guilford, 1999: 29-36.
3 Amber Haque. Psychology and religion: their relationship and integration from an Islamic perspective. The American Journal of Islamic Social Sciences, 1998, No. 4: 98-116.
4 Sahih Al-Bukhari (Arabic-English) translation by Muhammad Muhsin Khan. Islamic University, Medina Al-Munauwara, 1975, hal. 15-16 (Kitab Al Adab, hadits no. 21).
5 Mustafa Abdul Rahman (penterjemah). Hadits Empat Puluh, Dewan Pustaka Fajar, Kuala Lumpur, 1988, hal. 248.
6 Imam Ghazali (alihbahasa: Saiyid Ahmad Semait). Bimbingan mukminin. Pustaka Nasional, Singapura, 1989, hal. 868.