Suhana geram benar dengan kenakalan rakan-rakan lelaki di kelasnya. Petang ini dia terpaksa ke kelas tambahan lagi. Dia terpaksa mengorbankan banyak masanya untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajarannya, kerana dia akan menduduki peperiksaan SPM pada hujung tahun ini. Suhana yakin dengan usaha yang gigih dia akan berjaya di dalam peperiksaan nanti. “Hai Ida, dah siap.” Tanya Suhana. “Belum, nanti sekejap.” Kata Azlida. “Cepatlah sedikit sekarang ni dah pukul 3.00, tambahan dimulakan pukul 3.30.” Suhana menggesa. “Su, Su…. apalah yang Su bimbangkan, bukannya jauh asrama dengan sekolah tak sampai lima minit kita sudah sampai.” Azlida cuba menenangkan Suhana. “Memang betul, tapi Su suka datang awal ke kelas, kerana dapat berehat dan mengulangkaji pelajaran sebelum kelas di mulakan.” Suhana menjelaskan. “Okey, okey jangan berleter macam mak neneklah Su, Ida rimas mendengarnya.” Kata Azlida dengan wajah kurang senang terhadap sikap Suhana. “Hah tahupun.” Kata Suhana. “Su, Ida dah siap mari kita pergi.” Ajak Azlida. Tanpa sepatah kata Suhana melangkah beriringan dengan Azlida menuju ke sekolah.
Tiba di sekolah, ramai murid-murid lelaki yang telah tiba. Akan tetapi mereka belum masuk ke kelas, mereka berkumpul di hadapan kelas tingkatan 4 Ali. “Hello girl! I am very, very loving to you.” Afif mengusik Suhana. Suhana kenal benar dengan suara itu. “Hai tak habis-habis mengganggu, benci aku.” Getus Suhana sendirian. “Su, kenapa Su marah benar dengan Afif tu.” Tanya Azlida sedikit kehairanan. “Entahlah, sukar untuk Su katakan. “Jawab Suhana perlahan. Tepat pukul 3.30 kelas tambahan dimulakan. Cikgu Hanna, guru Sejarah masuk ke kelas. “Bangun.” Kata Eddie Ketua kelas Tingkatan 5 Umar. Murid-murid semua bangun, Eddie mengucapkan selamat petang diikuti oleh semua murid-murid. “Baiklah, hari ini kita belajar mengenai Perang Jawa. Kalau tak silap cikgu, tajuk ini telah cikgu terangkan kepada kamu semua. Cikgu minta salah seorang dari kamu bangun dan terangkan kembali, Siapa yang boleh?.” Tanya cikgu Hanna. “Suhana Cikgu.” Afif memberi cadangan. Suhana terperanjat. “Baiklah, Suhana cuba bangun dan terangkan kepada saya.” Suhana kaget, kerana dia sudah lupa. Suhana geram dengan sikap Afif, rasa mahu diterkam dan ditumbuk-tumbuk muka Afif. “Apa yang kau fikirkan Suhana.” Sekali lagi Suhana terperanjat. “Tak ada apa-apa cikgu, sebenarnya saya sudah terlupa.” Akui Suhana. “Baik kamu berdiri, siapa yang dapat membantu.” “Saya”. Ida menawarkan diri. Ida dapat menerangkan dengan sebaiknya. Iri hati Suhana mendengarnya, akan tetapi atas bantuan Idalah, Suhana dibenarkan duduk semula. Kini jam sudah menunjukkan detik 4.25 petang. Ini bermakna 5 minit lagi kelas tersebut akan berakhir. Akhirnya loceng dibunyikan. Mereka pulang bersama-sama. Dalam perjalanan Ida bertanya, “Su kenapa Ida lihat Su murung sahaja.” “Tak ada apa-apalah Ida, Su cuma fikirkan sikap Afif tu, Su tak sukalah. Jelas Suhana. “Kenapa? Afif tu suka dengan Su lah.” Beritahu Azlida. “Mana Ida tahu?” Tanya Suhana kembali. “Ialah asyik-asyik Su yang diusiknya, orang lain tidak.” Jelas Azlida. “Menyampah! Su tak sukalah.” Suhana mencebik. “Oh Ya! terima kasih Ida, kerana membantu Su tadi.” “Biasalah tu Su.” kata Azlida Ikhlas.
**************************************************
Kini Sudah tiga bulan mereka berada di tingkatan 5 Umar. Afif tetap dengan telatahnya, tak habis-habis mengganggu Suhana. Manakala Suhana kian berani memarahi perbuatan Afif itu. Beberapa hari lagi Ramadhan akan menjelma. “Su rasa besok puasa tak?” Tanya Azlida. “Ida bagaimana?” Tanya Suhana kembali. “Ida rasa besok puasa, maklumlah cuaca kelihatan baik.” Duga Azlida.
Pada malam tersebut Suhna, Azlida serta rakan-rakan asrama yang lain menonton telivisyen pada jadual yang di tetapkan seperti biasa. Pada malam itu, mereka tak sabar-sabar menanti pengumuman yang akan ditentukan sama ada anak bulan kelihatan atau tidak. Akhirnya rancangan yang mereka nanti-nantikan tiba juga. “Saya Penyimpan Mohor Besar Di Raja mengisytiharkan, anak bulan kelihatan dan Puasa jatuh pada hari Isnin 23.2.1993 bersamaan 1 Ramadhan 1413H iaitu besok.” Adik-adik seasrama dengan Suhana dan Ida bersorak girang. Pada keesokan harinya mereka berpuasa, begitulah hari-hari seterusnya. Pada hari terakhir sebelum cuti raya bermula, Eddie menghulurkan sepucuk surat kepada Suhana. “Apa ni?” Suhana terperanjat. “Bacalah nanti Su tahu.” Kata Eddie sambil tersenyum. “Eh! Tak mahulah.” Suhana menolak. “Ambillah”. Pujuk Eddie. Suhana diam tak terkata. “Su balik baca di rumah tau.” Pesan Eddie. Suhana hanya mengangguk.
Akhirnya loceng berbunyi, menandakan waktu persekolahan telah tamat. Suhana berjalan pulang beriringan dengan Azlida. Azlida melihat wajah Suhana tak seceria selalu. “Su sakitkah?, Ida lihat Su macam tak sihat sahaja, kenapa?” Azlida inginkan kepastian. “Tak ada apa-apa Ida.” Suhana cuba berselindung. Suhana senyum kepada Azlida untuk menghilangkan segala prasangka terhadap dirinya. Namun senyuman tersebut terasa tawar dan hambar pada pandangan Azlida, tetapi Azlida diamkan sahaja. Ketika mereka tiba di asrama ramai rakan-rakan yang telah pulang. Mereka berdua pulang lewat dari biasa, kebetulan mereka berdua sahaja pelajar tingkatan 5 Umar yang tinggal di asrama. “Ida dah siapkan barang-barang untuk dibawa pulang?”. Tanya Suhana. “Sudah, Su pula bagaimana?”. Tanya Azlida kembali. “Su juga sudah siapkannya semalam.” Mereka bertolak pulang kira-kira pukul 3.30 petang.
**************************************************
Suhana tak sabar-sabar lagi untuk cepat sampai ke rumah. Suhana sampai kerumahnya ketika jam menunjukkan detik 6.45 petang. Setibanya di rumah, Suhana dapati rumahnya kosong sahaja. Suhana faham benar, mama dan abahnya belum pulang dari bekerja. Ia lantas membuka pintu rumah dengan kunci yang ada padanya, dan bergegas ke biliknya di tingkat atas. Tanpa menanggalkan pakaian sekolahnya, Suhana mengambil surat dan membukanya….. Dada Suhana berdebar-debar. Ah! Siapa pengirimnya, Suhana membuka surat tersebut dengan sedikit tergopoh gapah. Sekeping kad Selamat Hari Raya tertera perkataan ‘Saudari’ di luarnya. Suhana kian tak sabar untuk mengetahui pengirimnya. Di dalam surat tersebut nama ‘Afif’ tertera kemas. Suhana panik seketika, dadanya kian berdebar. Ia membaca satu persatu……..
‘Su, maafkan Afif kiranya kedatangan warkah ini bisa mengocak tasik damai mu. Serta harapan dari Afif moga Su berbahagia di hari raya yang bakal tiba.’
Yang Benar,
Afif bin Khairi
Mata Suhana terus menatapi satu persatu kata-kata yang terdapat di dalam kad tersebut….
Saudari…..
Tanpa kau Sedari
Tingkah laku mu memikat hatiku
Ketulusan mu mendamaikan jiwaku
Kehadiran mu memberiku semangat baru
Lantas membuka pintu kamar hatiku
Untuk benar-benar mengenali diri mu.
Suhana menjadi bingung, dipejamkan matanya rapat-rapat, dia rasa bersalah terhadap Afif. “Afif maafkan Su.” Jerit hati Suhana.
Tiba-tiba pintu bilik Suhana diketuk orang, dia terperanjat. “Siapa tu?” tanya Suhana inginkan kepastian. “Mama”. Jawab ibunya ringkas. “Apa yang kau buat.” Tanya ibunya. “Tak buat apa-apa mama, Su saja baring-baring.” Jawab Suhana. “Marilah tolong mama masak, Su dah sembahyang?.” Tanya ibunya dengan penuh perasaan kasih sayang. “Belum mama”. Jawab Suhana ringkas. “Pergilah sembahyang dahulu.” Suruh ibunya. “Baiklah mama”. Jawab Suhana juga ringkas. Suhana tertawa sendiri, kerana asyik teringatkan Afif hingga terlupa mengerjakan solat Asar dan tidak menyedari bahawa mama dan abahnya telah pulang. Suhana menukar pakaian, mengerjakan solat Asar dan turun membantu ibunya memasak kerana beberapa detik lagi waktu berbuka akan tiba. Suhana adalah anak tunggal kepada Puan Meryam dan Encik Othman.
Malam itu, setelah selesai mengerjakan solat Insyak, Suhana tidak menonton seperti biasa. “Su tak mahu menonton gambar Melayu?” Tanya ibunya. Kemudian menyambung, “Malam ni gambar seronok tau”. “Cerita apa mama?” tanya Suhana manja. “Mira Edora” Jawab ibunya ringkas. “Bestnya!, tapi Su rasa hendak tidur awal sedikit malam ni, rasa letih benar.” Bohong Suhana. “Okeylah Su, mama tak kisah. Suka hati Su lah kan Su dah besar panjang.” Kata ibunya dengan penuh perasaan kasih sayang. Di biliknya, Suhana sekali lagi membuka surat Afif dan dibacanya berulang-ulang kali. Dia mengenangkan kembali segala peristiwa yang telah berlalu. Jam sudah menunjukkan detik 12.00 malam, namun Suhana tak dapat melelapkan matanya. Lantas Suhana bangun dan membuka jendela kamarnya, apa yang dapat dilihat dan di dengar hanyalah jalan raya yang lengang dan suara cengkerik. Suhana merenungi langit yang di penuhi bintang-bintang untuk mencari sedikit ketenangan. Akan tetapi ketenangan tersebut tidak di perolehi kerana wajah Afif tetap muncul di ruang ingatannya. Suhana rasa bersalah terhadap Afif, tetapi ia telah berjanji untuk tidak membalas warkah Afif. Suhana menganggap Afif adalah rakan sekelasnya yang nakal, dan yang penting dia mahu cita-citanya tercapai dahulu. Akhirnya Suhana menutup jendela, memadamkan lampu dan kembali ke katilnya, dan kini ia telah berada di dunia lain.
**************************************************
Kini penggal persekolahan tiba lagi, Suhana kembali ke sekolah dengan hati yang berdebar-debar. “Hai Ida, apa Khabar?” Tanya Suhana. “Baik.” Jawab Ida ringkas. “Hai Su, aku lihat kau makin cunlah.” Puji Azlida. “Ah! Ida kau tak habis-habis mahu mengusik Su.” Kata Suhana sedikit marah. “Betul.” Azlida mengiakan cakapnya. “Sudahlah Ida, Su ada satu berita untuk kau. Tapi sudah hampir hendak basi.” Tutur Suhana. “Apa dia?, cepatlah.” Ida tak sabar-sabar lagi untuk mendengar berita yang bakal di ucapkan oleh Suhana. “Sabarlah Ida, kau ni kalau ya pun janganlah terburu-buru.” Kata Suhana sambil tersenyum melihat sikap Azlida. Kemudian ia menyambung kembali, “Begini, pada hari terakhir persekolahan yang lalu Afif ada mengirimkan kad hari raya untuk Su melalui Eddie.” Suhana memberi penjelasan. “Betulkah?”. Tanya Azlida sedikit terperanjat. “Ya.” Suhana mengiakan katanya. “Berilah Ida baca sekejap. Rayu Azlida. Suhana mengambil kad tersebut dari dalam begnya dan di berikan kepada Azlida. Azlida membaca surat tersebut dengan begitu tekun sekali. Sejurus kemudian, “Itulah Su, kan dari awal lagi Ida dah katakan Afif tu sukakan Su”. Kata Azlida bersungguh-sungguh. “Ah! Tak tahulah tapi Su anggapkan Afif tu tak lebih dari kawan sekelas sahaja.” Jelas Suhana. “Janganlah kata begitu”. Pujuk Azlida. “Ida… Su tetap dengan pegangan Su.” Kata Suhana tegas. Sejurus kemudian “Su, Afif datang”. Beritahu Azlida. “Mana.” Tanya Suhana. “Itu”. Tunjuk Azlida. Suhana lihat Afif seperti biasa, bagai tiada apa yang berlaku.
Setelah bulan berganti bulan Suhana tetap dengan pendiriannya, tidak mahu membalas warkah Afif biarpun sering ditanya oleh Eddie. Suhana hanya menyatakan kepada Eddie bahawa dia sibuk dan tidak mempunyai masa. Sejak dari itu, perangai Afif mula berubah. Afif kini, sering ponteng sekolah, dia juga sudah mula berjinak-jinak dengan rokok dan tidak lagi menjadi pelajar kesayangan cikgu Rosfihan, kerana kepintarannya di dalam Matematik. Afif sering didenda. Pada suatu hari setelah selesai cikgu Rosfihan mengajar Matematik, ia meminta Suhana yang kebetulan berada di barisan hadapan menghantar buku-buku latihan matematik ke bilik guru. Suhana akur. Sewaktu hendak keluar dari bilik guru, cikgu Muhammad Sabillullah, guru kaunseling memanggil Suhana. “Suhana mari sekejap”. “Ada apa cikgu”. Tanya Suhana sedikit gementar. “Tolong panggil Afif sekejap, katakan saya ingin menemuinya di bilik kaunseling.” Suhana berasa tenang kembali, namun hanya seketika kerana ia kembali terkenangkan sikap Afif yang berubah sejak akhir-akhir ini.
Setibanya di kelas Suhana menyampaikan pesanan cikgu Muhammad Sabillullah kepada Afif. “Afif, Cikgu Muhammad Sabilullah ingin berjumpa dengan kau dibilik kaunseling.” Afif diam sahaja. Percakapan Suhana di buat endah tak endah oleh Afif. Suhana geram dengan sikap Afif, dia kembali ke tempat duduknya. Sejurus kemudian Suhana lihat Afif keluar, dia tahu Afif ke bilik kaunseling. Setengah jam kemudian Afif pulang, Wajah Afif tetap selamba. Sememangnya sikap Afif keras hati, dan perubahan sikapnya amat ketara sejak akhir-akhir ini.
Kini loceng telah berbunyi menandakan waktu persekolahan telah tamat. Suhana dan Azlida berjalan pulang beriringan. “Ida, Su rasa sikap Afif amat ketara dari dahululah. Su rasa bersalah Ida.” Kata Suhana dengan perasaan sedih yang tergambar di wajahnya. “Kenapa”. Tanya Azlida sedikit kehairanan. “Tentu kau faham.” Kata Suhana perlahan. “Ida sudah mengerti, itulah Su apa salahnya kalau Su balas surat Afif tu. Ida rasa baik Su tulis surat kepadanya dan beri nasihat supaya dia mengubah sikapnya. Tentu dia akan mengikuti nasihat Su.” Azlida cuba menenangkan Suhana dengan memberi nasihat. “Hai Susah, nantilah Su fikirkan dahulu.” Kata Suhana perlahan. Ah! Apa yang hendak di fikirkan lagi Su.” Tanya Azlida. Suhana diam tak terkata badannya terasa panas. “Demamkah aku”. Fikirnya sendirian.
Malam itu, Suhana tidak dapat menumpukan sepenuh perhatiannya kepada pelajaran. Dia masuk tidur lebih awal dari biasa, atas alasan kurang sihat. Namun setelah ia masuk kebilik tidur ia tidak dapat melelapkan matanya, kerana perasaan bersalah terhadap Afif masih menyelubungi dirinya. Ia bingkas bangun dan kembali semula ke bilik bacaan, kerana pada waktu itu pelajar tidak di benarkan menyalakan lampu. Akibatnya, waktu itu adalah waktu belajar. “Hai! Su, tak jadi tidurkah atau apa dah terjadi?. Tanya Azlida sedikit terperanjat. “Entahlah Ida, Su rasa hendak tulis surat kepada Afiflah.” Terang Suhana. “Hah, itu satu cadangan yang bagus. Tulislah, beri nasihat agar dia tinggalkan segala perangainya yang buruk itu.” Azlida menyokong cadangan Suhana. Suhana diam tidak terkata. Suhana begitu tekun menulis sehingga dia tidak sedar waktu belajar sudah hampir tamat. Beberapa detik lagi loceng akan dibunyikan. “Su dah siapkan surat tu?” . Tanya Azlida. “Belum”. Jawab Suhana ringkas. “Banyak lagikah?”. Tanya Azlida kembali. “Tidak”. Hanya itu yang Suhana jawab. Sememangnya Suhana tidak banyak bercakap pada malam itu. “Ah! Dah siap”. Getus Suhana. “Boleh Ida baca.” Tanya Azlida inginkan kepastian. “Boleh”. Suhana memberi keizinan. Ringgg! Tiba-tiba loceng dibunyikan. “Besoklah Ida baca.” Suhana memberi cadangan. “Tak mengapalah Su, Ida sengaja menduga Su, tak payahlah Ida baca, Su beri aje surat tu pada Afif esok.” Jawab Azlida cuba menceriakan suasana.
**************************************************
Siang datang lagi seperti biasa, Suhana dan Azlida berjalan beriringan ke sekolah. “Awal awak berdua kesekolah pagi ini.” Tegur Muhammad Jihadullah rakan sekelas mereka. “Biasalah”. Balas Suhana dan Azlida. Kemudian Muhammad Jihadullah berlalu pergi untuk menjalankan tugasnya. Muhammad Jihadullah adalah salah seorang pengawas dari tingkatan 5 Umar yang berdedikasi. Sejurus kemudian Azlida ternampak Eddie. “Su, Die dah datang.” Beritahu Azlida sambil menunding ke arah Eddie. “Ida tolonglah panggil Die sekejap.” Pinta Suhana. “Die, Su panggil”. Azlida memanggil Eddie. “Kenapa?”. Tanya Eddie kehairanan. “Boleh Su minta tolong tak?”. Tanya Suhana bersungguh-sungguh. “Boleh, kecil tapak tangan nyiru Die tadahkan.” Kata Eddie sambil berjenaka. “Alah Die ni janganlah main-main. Su hendak minta Die tolong berikan surat ini kepada Afif, bolehkan?”. Tanya Suhana. “Apa beri surat kepada Afif? Oh! Tak menjadi masalah.” Jawab Eddie dengan perasaan riang yang jelas tergambar di wajahnya. “Terima kasih Die”. Jawab Suhana malu-malu. “Sama-sama”. Balas Eddie kemudian. Ringgg! Loceng berbunyi menandakan waktu persekolahan bermula. Suhana masuk ke kelas berbagai perasaan menyelubungi dirinya.
Pelajaran pertama bermula. Cikgu Nur Syuhada guru Bahasa Malaysia masuk ke kelas. Eddie dan murid-murid 5 Umar bangun. Eddie mengucapka selamat pagi dan diikuti oleh murid-murid lain. “Baiklah keluarkan buku karangan kamu.” Tutur cikgu Nur Syuhada. Cikgu Nur Syuhada mula menulis tajuk karangan di papan hitam. Sejurus kemudian, “Tajuk karangan kita pada hari ini ialah ‘Pembangunan membawa kepada kemusnahan alam sekitar. Bincangkan’. Tutur cikgu Nur Syuhada lagi. Sememangnya menjadi kebiasaan cikgu Nur Syuhada, dia akan membincangkan sesuatu tajuk karangan dengan murid-muridnya, sebelum meminta mereka membuat latihan. “Baiklah saya minta Nur Aqilah bangun dan berikan pendapatnya.” Nur Aqilah akur dengan perintah cikgu Nur Syuhada. “Pada pendapat saya salah satu dari faktor kemusnahan alam sekitar ialah pembukaan kawasan-kawasan baru dimana banyak pokok-pokok yang terpaksa ditebang. Ini menyebabkan lapisan ozon menjadi tipis dan memudahkan penyakit kulit merebak.” Nur Aqilah memberi pendapat. “Bagus, Duduk”. Tutur cik gu Nur Syuhada. Selepas Nur Aqilah diikuti oleh Hafiz, Zuriamar, Mohd. Amin, Eddie dan akhirnya tibalah giliran Suhana. “Suhana”. Tutur cikgu Nur Syuhada. “Suhana panik seketika, kerana tajuk tersebut dirasakan terlalu sukar baginya ditambah situasi yang sedang melanda dirinya. Suhana diam mencari jawapan. “Tajuk semudah itu kamu tak tahu.” Tanya cikgu Nur Syuhada setelah dia melihat Suhana diam. Cik gu Syuhada memanglah terkenal dengan sifatnya yang tegas dan suka berleter. Muka Suhana merah padan mendengar leteran dari cikgu Nur Syuhada. Suhana cuba memerah otaknya mencari jawapan. Suhana rasa dia pernah membaca berkenaan tajuk tersebut di dalam majalah kesayangannya ‘Siswa’ beberapa bulan yang lalu. Suhana cuba menjawab walaupun dia kurang pasti sama ada isi tersebut bertepatan atau tidak dengan kehendak soalan.
Suhana mengemukakan pendapatnya. “Pada pendapat saya…. Antara kesan dari faktor kemusnahan alam ialah lapisan ozon akan terhakis bumi menjadi tersangat panas ini menyebabkan salji di Kutub menjadi cair dan arus laut di seluruh dunia meningkat. Akibatnya dunia akan tenggelam.” Jawab Suhana sedikit keraguan. “Bagus, satu hujah yang baik”. Puji cikgu Nur Syuhada. “Baiklah duduk”. Tuturnya cikgu Nur Syuhada lagi. “Lega”. Desus hati kecil Suhana. Dibibirnya terukir sebuah senyuman.
Kini pelajaran Bahasa Melayu, Matematik, sejarah dan Rampaian Sains telah berlalu, manakala waktu rehat mengunjung tiba. Tingkatan 5 Umar menjadi sunyi sepi, semua pelajar telah keluar menuju ke kantin termasuk Suhana dan Azlida. Tiba-tiba di satu sudut Suhana terpandang Eddie sedang berbual dengan Afif. Suhana sudah dapat menduga apa yang mereka perbualkan. Suhana rasa berdebar untuk menanti reaksi selanjutnya dari Afif. Suhana lihat ada perasaan terperanjat yang jelas tergambar di wajah Afif. Mungkin ia tidak menduga akhirnya Suhana akan membalas jua.
**************************************************
Beberapa purnama telah berlalu, waktu peperiksaan kian hampir tiba. Afif kini bukan Afif yang dahulu lagi. Afif telah menjadi seorang budak yang baik. Afif kembali disayangi oleh guru-gurunya. Dia telah meninggalkan rokok yang cuba dijinak-jinaknya pada suatu ketika. Sekaligus perhubungan Suhana dan Afif kian erat. Mereka sering membincangkan pelbagai masalah yang mereka hadapi di dalam pembelajaran mereka. Suhana sedar kini, bahawa perhubungan yang menitik beratkan nilai-nilai positif sedikit pun tidak menjejaskan pembelajarannya, malah atas bantuan Afif yang terkenal dengan kepintarannya di dalam Matematik dan Bahasa Melayu, Suhana kian yakin bahawa cita-citanya untuk lulus SPM dengan cemerlang akan tercapai. Affi kini menjadi sumber inspirasi yang utuh bagi Suhana, untuk dia berusaha dengan lebih gigih bagi menempah kejayaan yang cemerlang di SPM yang bakal dipertarungkan tidak berapa lama lagi. Suhana memandang Azlida “Ida terima kasih atas nasihat mu.” Desus Suhana sendirian. Kemudian ia memandang kepada Afif yang berada di meja sudut belakang. Ada riak-riak ketenangan yang diperolehi dari wajah itu kini. “Afif apakah kau akan begini untuk selama-lamanya.” Desus hati kecil Suhana lagi.
Nukilan,
Zana ...
5 Arts 1
p/s :
illustrasinya sebahgian dari apa yg berlaku dlm hidupku..
Masuk peraduan majalah Siswa x menang pun..
nak menang macam mana banyak ayat yg sumbang... :)
Tak mengapalah aku jadikan sebahagian Koleksi Ilham ku...
No comments:
Post a Comment