Assalamualaikum warahmatullah,
Alhamdulillah, bertemu lagi di hari Jumaat yang mulia ini.
Maaflah, kali ini kisah rumahtangga (RT) lagi... Ada seorang rakan blogger komplen BG, kenapa suka sangat masukkan entry berkisar hal-hal RT? Saya tak terus jawab pertanyaannya sebab di situ ada personal attack yang saya tidak gemar sungguh membacanya.... tapi kali ini saya hendak beritahu, jawapannya : Jika ada perkara yang tidak betul dalam sesuatu isu, kenalah kita suarakan. Hendak beritahu semua orang, mungkin mustahil. Jadi saluran yang saya suka ialah blogspot dan egrup.
Saya sedar, bukan semua orang dapat membaca apa yang ada dalam fikiran saya dan bukan semua ada kemudahan internet untuk baca Laman Seri, tetapi sekurang-kurangnya saya ada juga berusaha berbuat sesuatu. Ingat kisah burung yang menolong Nabi Ibrahim daripada api Raja Namrud? [Rujuk : Kisah seekor burung dan seekor cicak] Sesungguhnya Allah tidak akan bertanya apakah hasil perbuatan usaha hamba-Nya, Allah akan persoalkan apakah yang telah kita lakukan atau usahakan [rujuk Sekecil-kecil amalan tetap jadi penyelamat kita di akhirat]. Mudah-mudahan usaha kecil ini diberkati-Nya, sesuai dengan matlamat asal Laman Seri ini ialah ‘Mencari Keredhaan-Nya’...
OK, ini adalah susulan entry Dendam rumahtangga : Isteri main kayu tiga?!. Jika dalam entry yang lepas berkisar tentangnafkah batin (keperluan emosi) isteri yang tidak dipenuhi suami, kali ini saya ketengahkan isu membalas dendam dalam rumahtangga, maksudnya suami ‘makan luar’ atau curang, isteri pun boleh juga? Erk... bolehkah begitu?
Tidak dinafikan, ada isteri yang berfikiran pendek, sebagai tanda protes dan sakit hati, isteri pula mengikut jejak langkah suami yang bermain kayu tiga. Kononnya hendak membalas dendam atas perbuatan suami yang menyakiti hatinya. Iyalah, bila isteri pun curang juga, tentu suami akan merasa sakit hati. Barulah bertemu buku dengan ruas! Tentu ada yang mengatakan,“Padam muka! Sekarang tahulah apa yang aku rasakan...”
Soal-Jawab di JAKIM
Ops... sebelum anda rasa anda berhak berbuat begitu, nanti dulu! Cuba semak soal-jawab di bawah, yang petik dari laman webJAKiM.
Soalan : Apakah hukumnya suami keluar makan dengan perempuan lain di waktu malam dengan menipu isteri, dengan alasan suka-suka tanpa ada hubungan serius dan bolehkah jika isteri berbuat hal yang sama dengan alasan yang sama?
Jawapan JAKiM : Suami berhak keluar ke mana sahaja tanpa kebenaran isteri berbeza dengan isteri. Cuma kesalahan suami di sini ialah menipu isteri dan keluar dengan perempuan lain yang bukan muhrimnya. Adalah haram keluar dengan perempuan lebih-lebih lagi di malam hari yang terdedah kepada perkara-perkara diragui. Manakala si isteri janganlah berbuat perkara yg sama semata-mata tindakan yang dilakukan oleh suami. Allah akan menunjukkan akibat tindakan kesalahan yang dilakukan oleh si suami yang akan terbukti bila-bila masa sahaja. Allah akan bersama hambanya yang mentaatinya.
Jika kita perhatikan soalan di atas, terdapat pertanyaan “bolehkah jika isteri berbuat hal yang sama dengan alasan yang sama?” dan saya percaya, walaupun tidak ramai tentu ada yang terfikir hal yang sama, atas alasan kalau suami boleh buat, mengapa isteri tidak boleh?
Merujuk jawapan JAKiM , “isteri janganlah berbuat perkara yang sama semata-mata tindakan yang dilakukan oleh suami” dan DITEGASKAN sekali lagi, isteri tidak boleh berbuat perkara yang sama semata-mata kerana hendak membalas dendam terhadap perbuatan suami. Dari segi hukum Islam sendiri, isteri kena minta izin daripada suaminya untuk keluar rumah, jadi jika isteri keluar makan dengan lelaki lain di waktu malam dengan menipu suami, tentulah berdosa namanya.
Dalam soal-jawab yang lain pula :
Soalan : Apakah hukum seorang suami keluar rumah ikut sesuka hati dan berfoya-foya dengan perempuan lain di luar dan menipu isteri dengan cerita-cerita dan alasan yang tidak benar? Adakah isteri berhak mengetahui hal-hal suami itu?
Jawapan JAKiM : Tindakan suami berbuat demikian adalah berdosa. Isteri berhak mengetahui hal yang dibuat oleh suaminya agar ia boleh menasihatinya daripada melakukan perkara yang bertentangan dengan syarak.Inilah peranan yang sepatutnya seorang yang bergelar isteri berbuat demikian.
Perhatikan jawapan yang saya ‘bold’kan dalam jawapan JAKiM di atas. Dalam hubungan suami isteri, perlu ada nasihat-menasihati (tidak kira dari pihak suami atau isteri) demi kesejahteraan dan keharmonian rumahtangga yang dibina. Jangan kita kaum wanita mati akal, meniru perlakuan buruk dan mengulang dosa yang sama dilakukan suami, membalas curang dengan curang. Sebaliknya isteri wajar bersikap matang dengan menasihati suami. Sekiranya tidak berjaya, isteri boleh melantik orang tengah yang dihormati suami supaya menasihati suami dan jika masih tidak berjaya juga, hendaklah memikirkan sama ada hendak terus bersabar dan makan hati dengan sikap suami, atau bolehlah ke pejabat agama untuk tindakan selanjutnya.
Saya ada sempat membaca satu artikel oleh Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga & Guaman Syarie yang berpengalaman lebih 12 tahun dalam bidangnya memaklumkan, nisbah kes balas dendam dalam rumahtangga adalah 20:1 namun setahun kebelakangan ini, jumlahnya semakin meningkat iaitu 10:3.
Contoh kes 1
Kes terbaru yang ditanganinya pada awal Mei lalu menyaksikan seorang ibu nekad meninggalkan bayi berusia 5 bulan dengan abangnya yang berusia 11 tahun untuk keluar dengan kawan-kawannya di hujung minggu semata-mata sakit hati dengan suami yang sering meninggalkannya di hujung minggu.
Contoh kes 2
Sementara awal Mac lalu, terdapat kes seorang isteri curang bersama beberapa teman lelaki selepas mendapati suaminya telah meniduri beberapa orang wanita. Setelah suaminya mendapat tahu, isterinya dipukul teruk dengan getah paip sehingga melecur satu badan.
Maksud curang
Sebenarnya, bagi suami yang sekadar berkawan atau bercinta, mereka belum boleh dikatakan curang. Sebab apa? Sebab ada keharusan berpoligami yang mereka mempunyai 4 kuota itulah... Namun, suami boleh dicop curang APABILA dia mula mengabaikan tanggungjawabnya sebagai suami dan bapa, akibat terleka kemaruk bercinta. Pada masa itu, dia bukan sahaja curang kepada isteri dan anak-anak, dia juga dicop curang kepada tuhannya (kerana mengabaikan amanah Allah SWT).
Berbeza pula dengan isteri, syarak mengharamkan isteri menyimpan rasa suka apatah lagi rasa cinta kepada lelaki selain suami. Jika isteri bercinta dengan lelaki lain, mereka boleh dikategorikan sebagai curang. Tanpa mengira apa pun alasannya termasuk kegagalan suami menunaikan tanggungjawab. Sekiranya suami gagal melaksanakan tanggungjawab hingga isteri beralih kasih, isteri perlu keluar dari perkahwinan dan bukannya bertindak curang terhadap suami. Islam telah menentukan isteri perlu menghormati suami walau dalam apa juga keadaan.
Cari jalan penyelesaian untuk menyelamatkan rumahtangga terutama terbuka mengubah sikap.________________________________________
Punca berlakunya pasangan curang
Dalam entry Dendam rumahtangga : Isteri main kayu tiga?!, disenaraikan 5 punca isteri berlaku curang. Berdasarkan kes yang berlaku, disenaraikan lagi 4 perkara yang dikenal-pasti sebagai punca berlakunya isu pasangan curang. Perlu ditegaskan, punca ini boleh jadi daripada pihak isteri atau suami.
1. Cuba-cuba (saja suka-suka)
2. Simpati berlebihan
3. Balas dendam
4. Tiada niat yang ikhlas
Di samping tiga faktor pendorong di atas, sebab-sebab lain termasuklah kerana tiada niat yang ikhlas ketika mendirikan rumahtangga. Niat yang ikhlas bermaksud bersedia untuk menerima pasangan seadanya, susah senang bersama-sama dan sama-sama juga perbaiki diri demi keharmonian rumahtangga.
Keikhlasan penting untuk mendorong seseorang menerima kelemahan pasangannya lantas berusaha memperbaiki diri dan bukannya turut serta melakukan kesilapan yang sama. Seorang yang ikhlas dalam hubungan perkahwinan akan reda dan percaya, kesilapan yang dilakukan oleh pasangannya adalah sebagai ujian daripada Allah dan perlu berusaha untuk membetulkan kesilapan pasangan. Sekiranya gagal dibantu, setelah berusaha dan memanjatkan dia, jalan terbaik adalah keluar dari perkahwinan dan bukannya turut serta mengulangi kesilapan pasangan yang hakikatnya lebih banyak memberi keburukan kepada diri sendiri, pasangan dan anak-anak.
Hak anda sebagai isteri atau suami - Orang ketiga boleh dibicarakan
Menurut Suzana, isteri mempunyai hak yang mana undang-undang memperuntukkan peruntukan khusus berkaitan kes suami curang yang menjalinkan hubungan dengan orang ketiga, sehingga mengabaikan hak isteri. Orang ketiga yang dimaksudkan bukanlah madu atau isteri suami yang sah di sisi syarak sebaliknya lelaki atau wanita yang menggugat kebahagiaan perkahwinan dan rumahtangga isteri bersama pasangannya.
Pendefinisian ini bermaksud jika anda, tak kiralah seorang lelaki atau wanita menjadi sebab kepada berlakunya ketidakharmonian perkahwinan seseorang, anda boleh disabitkan melakukan kesalahan jenayah di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah. Akta ini terdapat di setiap negeri. Merujuk kepada Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan), seksyen 36, seksyen 37 dan seksyen 38 adalah berkaitan dan boleh digunakan untuk membawa orang ketiga ini ke muka pengadilan.
• Seksyen 36. Memujuk lari perempuan bersuami.
Mana-mana orang yangmemujuk lari seorang perempuan bersuami atau membawanya keluar dari atau dengan apa-apacara mempengaruhinya supaya meninggalkan kediaman suami isteri yang ditentukan oleh suaminya adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan Mahkamah boleh memerintahkan perempuan tersebut supaya kembali kepada suaminya.
• Seksyen 37. Menghalang pasangan yang sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri.
Mana-mana orang yang menghalang sesuatu pasangan yang sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri yang sudah bernikah dengan sah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, dan Mahkamah hendaklah memerintahkan pasangan itu supaya hidup sebagai pasangan suami isteri yang sudah bernikah dengan sah.
• Seksyen 38. Menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan.
Mana-mana orang yang menghasut, memaksa atau memujuk mana-mana orang lelaki atau orang perempuan supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan dan tanggungjawabnya sebagai suami atau isteri adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Berdasarkan peruntukan ini, sesiapa sahaja yang menjadi penghalang hubungan bahagia antara anda dan pasangan anda, boleh dibicarakan. Sebagai contoh, suami mempunyai teman wanita hingga melalaikan kewajipannya sebagai suami dan ayah, teman wanita suami itu boleh dibawa ke mahkamah dan dibicarakan. Sama juga jika isteri yang mempunyai hubungan dengan teman lelaki hingga melalaikan tanggungjawab dan kewajipannya, teman lelaki isteri boleh dibicarakan.
Kesimpulan
Andai gagal dibantu setelah usaha dan doa dilakukan, jalan terbaik adalah keluar daripada perkahwinan dan bukan turut serta mengulangi kesilapan pasangan yang hakikatnya akan mendatangkan lebih banyak keburukan kepada perkahwinan, malah kepada diri sendiri, pasangan dan anak-anak.
Sebagai langkah pencegahan, perkara paling penting adalah bersikap berterus-terang, berbincang dan cuba mengatasi segala masalah yang ada. Rata-rata isteri akan setia kepada suami kecuali apabila merasakan ada orang lain yang lebih memahami atau lebih bersikap melindungi. Sebaiknya, bila isteri merasakan ada yang kurang dalam layanan suami, isteri perlu berterus-terang dan suami pula perlu bersikap terbuka. Sama juga jika suami berada dalam situasi yang sama. Jika masing-masing sayangkan perkahwinan, ikhtiarkan dan usahakan jalan penyelesaian. Jangan sewenang-wenangnya mendabik dada berbangga inilah anda dan langsung tidak mahu berubah.
Tidak salah berubah sikap jika ia baik untuk perkahwinan dan rumahtangga. Menerima pasangan seadanya bukan bererti perlu terima kelemahan yang tidak perlu, sebaliknya cari kelemahan dan cuba dibaiki. Menerima seadanya bermaksud terima dirinya dan usahakan yang terbaik bagi membantu mengatasi kelemahan masing-masing.
Semoga bermanafaat!
4 comments:
Suami brlaku curang akibat digoda seorg janda...ketika kmi dilanda krisis...janda ini merupakn kenalan kami...tp dlm diam myimpan rancangan mngoda suami..akhirnya trlanjur..suami mgaku n bertaubat..tp sy mgalami kemurungan yg teruk slma beberapa bln dan masih dlm proses pulih..bokehkah sy mgambil tindakan mahkamah ke atas janda trsebut? Sbb bkn rmhtgga sy sj yg mnjadi mangsa ramai lg suami org yg digoda tuk kesenangan janda trsebut...dan bagaimana caranya untuk mmbawa kes ini ke muka pengadilan..bkn nk mmbalas tp spya tidak brlaku kpd org lain lg...
Akibat pengaruh media sosial,salah satu penyebab berlakunya kecurangan.
Akibat pengaruh media sosial,salah satu penyebab berlakunya kecurangan.
Kesian akak..salah Janda Tue punca rumah tangga suami isteri retak hancur
Post a Comment