Monday, April 25, 2005

Air Mata Amira

Amir sudah memberikan segala-galanya untuk membahagiakan Amira. Rumah besar, kereta, barang-barang kemas. Sebut saja apa yang diingini oleh perempuan... semua dah diberikan, termasuk akaun peribadi. Belilah apa saja. Amir ingin Amira bahagia. Benar-benar bahagia sebagaimana Amira memberikan sinar kebahagiaan dalam hidupnya. Tapi Amir sedar, ada sesuatu yang membuatkan Amira tak puas hati. Apa? Amir bingung....
"Mira hargai segala yang abang berikan pada Mira selama ini. Mira sayangkan abang. Mira takut pada perpisahan, bang! Mira nak bersama abang sampai bila-bila."
"Mira... Kenapa sampai fikir macam tu? Mira ingat, abang nak tinggalkan Mira?."
"Mira terima jika kematian memisahkan kita, sebab itu memang laluan hidup. Mira juga sanggup kalau ada perempuan lain dalam hidup abang dengan syarat abang miliki secara terhormat, sekiranya itu yang Allah takdirkan. Tapi ada perpisahan lain yang Mira takut..."
Gila! Bila Amira mula bercakap begitu, Amir akan membiarkannya. Kenapa takut dengan bayang-bayang sendiri? Dia benci dicurigai begitu. Tidak terlintas di hatinya untuk menduakan Amira. Cukuplah pengalaman kawan-kawannya mengajar Amir tentang kerenah orang perernpuan. Tak pernah cukup dengan yang ada. Amir terlalu sayangkan Amira dan takut kehilangannya. Bukannya mudah mencari wanita sebaik dan semanis Amira.
Apa yang menyiksa Amir ialah, ada semacam ketidakpuasan pada wajah Amira. Amir dapat membacanya dari sinar mata Amira. Apa lagi yang kurang?
Amir masih ingat isi diari Amira yang dibacanya tiga bulan selepas perkahwinan mereka. Malam itu Amir balik lewat. Amir membuka pintu perlahan-lahan. Dilihatnya Amira tertidur di meja solek. Pipi kirinya terletak di atas tangan kiri dan tangan kanannya yang masih memegang pena terkulai di atas diari.
"Ya Allah! Aku inginkan yang lebih berharga dari kemewahan yang ada ini......"
Itu saja catatan Amira di helaian diarinya. Hati Amir tersentak. Ternyata, Amira belum puas dengan kemewahan yang diberikannya. Terasa panas dadanya. Adakah mungkin tersembunyi rasa tamak di sebalik kejernihan wajah isterinya itu? Amir benar-benar bingung!
Amira terjaga tiba-tiba. Dia memang mudah terjaga. Setiap pagi, sebelum azan subuh Amira bangun, mandi dan bersiap sedia untuk sembahyang. Amir tidak pernah menghalang Amira. Malah dia bangga kerana mempunyai isteri sebaik Amira. Cuma, peribadinya jangan disentuh. Kadang-kadang kalau ada mood, Amir sembahyang Maghrib dan Isyak. Kalau ayah mertuanya datang, Amir sembahyang. Nak mengambil hati bapa mertua.
"Eh... abang dah balik. Sorry ya, bang. Mira tunggu kat bawah tadi. Ingatkan nak naik sekejap saja. Tertidur pula. Abang dah makan?"
Kemarahan Amir kerana catatan tadi hilang tiba-tiba dengan sapaan mesra cari Amira.
"Dah... abang dah makan. Lepas dinner dengan Kamal tadi, terlajak pula berbual. Rupa-rupanya dah lewat malam. Lain kali kalau abang balik lewat, Mira tidur saja dulu. Abang ada kunci."Memang Amira isteri yang baik Amir biasa dengar kawan-kawannya merungut tentang pendakwaraya yang menanti di rumah bila mereka balik lewat. Macam-macam soalan di muka pintu. Ahh... Amir bangga memiliki Amira sebagai isteri. Pilihan ibunya tidak silap.


"Abang tentu letih. Sembahyang Isyak dulu ya bang, bila dah segar, bolehlah rehat..."
Lembut saja suara Amira. Amira senyum dan memandang wajah Amir. Amir buat-buat tak dengar. Dia menyambut tuala mandi yang dihulurkan dan cepat-cepat ke bilik mandi. Hati kecilnya rasa bersalah tapi dibiarkan saja. Amira mengiringinya.
Amir sentiasa terhibur dengan telatah isterinya. Lucunya ada, lembut dan tak banyak kerenah. Amir tahu, mana-mana lelaki pun akan terhibur dengan isteri seperti Amira. Matanya tertutup pada perempuan lain. Tapi, adakah Amira bahagia menjadi isterinya? Kebimbangan ini secara halus mencabar kelelakiannya. Adakah mungkin Amira berlakon? Tak mungkin. Amira sendiri yang berkata dia tak sanggup berpisah dengannya. Perpisahan apa yang Amira maksudkan? Apa yang dicari Amira dalam catatan diarinya tempoh hari? Bingung... bingung! Perkara ini mesti diselesaikan segera, fikir Amir.
Hari itu Amir sengaja ambil cuti. Dia mahu menghabiskan masa dengan Amira. Dia mahu bertanya terus terang kepada Amira. Biar Amira meluahkan apa yang terbuku. Biar sinar mata Amira tidak lagi menyimpan rahsia.
Seperti biasa, Amira bangun. awal. Tersentuh juga hati kecil Amir meiihat setianya Amira pada sejadah putih yang dijahitnya sendiri. Amir ada membelikan sejadah yang cukup mahal untuk Amira. Amira menggunakannya juga tapi sejadah putih itu tetap diletakkan di atas sejadah yang dihadiahkan Amir.
Tidur Amir terganggu dengan esakan Amira yang secara tiba-tiba dan kemudian semakin kuat. Sedu-sedan Amira memenuhi ruang bilik tidur. Amira menangis! Air mata Amira adalah perkara asing bagi Amir. Amir menggelabah. Jam dinding baru menunjukkan 5.30 pagi. Amir menolak selimut dan bergegas mendekati Amira. Bahu Amira dipegangnya.
"Amira..." bisiknya ke telinga Amira. Sedu-sedan Amira semakin kuat. Tubuh Amira yang dibaluti telekung putih bersulam yang juga hadiah daripada Amir, seperti digoncang kerana tangisannya.
"Amira... kenapa ni?" Amir dengan segera menghampiri Amira dari depan pula. Apa yang harus dilakukan? Amir cemas. Takkan nak telefon jiran sebab isteri menangis di waktu-waktu begini.
"Abang... Mira sayangkan abang. Mira tak nak berpisah dengan abang."
Amira mengucapkan lagi kata-kata itu. Takkanlah Amira gila.
"Jangan cakap macam tu, Mira. Kita tak akan berpisah. Abang pun takut kehilangan Mira.
Ah! Perlukah Amir berterus-terang tentang kebimbangannya? Malu bila seorang lelaki sepertinya mengalami perasaan takut kehilangan. Amir tak mahu dipandang lemah di mata perempuan, lebih-lebih lagi Amira.
"Mira isteri abang. Tempat Mira adalah di sisi suami. Syurga Mira di bawah tapak kaki abang... mana mungkin Mira terfikir nak tinggalkan abang."
"Tapi mata Mira..."
"Kenapa dengan mata Mira, bang?""Kalau betul Mira bahagia hidup dengan abang, kenapa Mira selalu sebut tentang perpisahan? Mira tulis dalam diari, Mira perlukan yang lebih berharga daripada kemewahan yang abang berikan. Kenapa Mira?"
"Mira bahagia, bang. Abang suami yang baik. Sebab itu Mira nak kebahagiaan kita berterusan."
"Mira tak yakin dengan masa depan bersama abang?"
"Ya bang. Mira sangsi dan tak yakin dengan masa depan dan kebahagiaan kita berdua di Akhirat."
Amir terdiam. Dia tak pasti samada perasaannya ketika itu marah, tercabar atau.... Amir betul-belul bingung.
"Abang tak pernah halang Mira... kan?"
Amira mengangkat wajahnya dan pandangan mereka bertemu. Mata dan pipi serta telekungnya masih basah. Tangannya menurunkan tangan Amir dari bahunya. Diciumnya tangan Amir berkah-kali. Amir rasa sangat dihormati dan disayangi. Tangan Amir terasa panas dengan airmata Amira.
"Itulah yang menyebabkan Mira sayangkan abang. Tapi Mira ingin supaya kita mengharungi matlamat kehidupan kita bersama, bang," kata-kata Amira bercampur baur dengan sedu-sedannya.
"Hati Mira tersayat setiap pagi bila abang tak bangun menghadap Tuhan, bang. Hati Mira merintih setiap kali abang meninggalkan sembahyang. Apalah ertinya kemewahan ini kalau Dia yang mengurniakannya kita belakangkan? Apalah erti kasih sayang yang abang curahkan pada Mira jika di Akhirat kita tidak bersama, bang? Keimanan dan penyerahan diri kepada Allah lebih berharga dari seluruh kemewahan yang mampu kita kumpulkan, bang. Kemewahan ini akan lebih bererti jika kita berterima kasih pada yang mengurniakannya. Mira akan terus setia menyayangi abang kerana itu perintah Tuhan. Bagaimana Mira boleh terus bahagia jika abang tidak bersama dalam pengabdian ini..."
Amir terpaku. "Maafkan Mira. Mira tak berniat nak mengajar abang. Mira tahu abang tak suka. Kalau Mira rasa selamat dari Neraka, Miralah ahli Neraka. Mira cuma nak luahkan perasaan Mira. Inilah apa yang terpendam dalam hati Mira selama jadi isteri abang. Abang jangan marah pada Mira ya!"
Mata Amir terasa panas. Pandangannya kabur. Amir tidak mahu membiarkan airmatanya tumpah, tapi Amir benar-benar terharu. Memang niatnya hari itu mahu mendengar luahan hati Amira... dan segalanya berlaku tanpa dia bertanya.
Kenapa Amira tidak katakan sejak dulu? Kalau itu yang Amira inginkan, dia akan cuba. Amir benar-benar takut kehilangan Amira. Amir mengusap-usap kepala Amira. Perasaan kasihnya terhadap Amira amat sukar untuk digambarkan.
"Mira... abang akan cuba demi kebahagiaan kita bersama. Tapi abang perlukan masa dan terlalu banyak yang perlu abang pelajari. Abang boleh belajar dari Mira, kan?"
"Ya Allah... terima kasih kerana sudi mendengar rintihanku dan memberikan penyelesaian tanpa aku menyakiti perasaan dan harga dirinya." Amira berbisik di dalam hati.
Subuh itu selepas Amir membersihkan diri dan Amira membaharui wudhuknya, mereka sembahyang jemaah bersama. Kali ini Amir terasa ada kelainan dalam sembahyangnya.Airmata Amira di hening Subuh itu telah merobah segalanya.

2 comments:

Unknown said...

hi zana. boleh mintak komen sket my own sajak on my page? i can see from your post here you have an excellent command in malay. i tgh kat england nie jadi i punye member melayu sumer takde.

Cindai said...

Emm.. nak komen???

siapalah Zana nie...
zana bukan pandai sangat sajak
pun tak pandai dalam BI
Sekolah pula aliran arab dulu..
Sekarang nie macam nilah..
lebih sesuai digelar wanita Melayu terakhir...