Di awal perkahwinan, Sofea hidup aman dan bahagia. Bagi Sofea, Azmi merupakan seorang suami yang lembut dan bertanggungjawab. Malah sewaktu mula berkenalan dengan Azmi, Sofea tertarik dengan budi bahasa dan sikap mengambil berat yang ditunjukkan oleh Azmi. Justeru, kerana itulah Sofea mengambil keputusan menerima lamaran Azmi biarpun ketika itu ramai lelaki yang cuba memikat dirinya.
Malangnya segala kemanisan yang diharapkan Sofea ternyata tidak seindah yang diimpikan. Sebaik sahaja memasuki satu tahun usia perkahwinan, sikap Azmi mula berubah. Dia tidaklah selembut seperti disangkakan, sebaliknya merupakan seorang suami yang kasar dan cerewet.
Setiap perbuatan Sofea ada sahaja yang tidak kena di matanya. Malah masakan dan cara Sofea berpakaian juga turut menjadi bahan komen Azmi sehingga membuatkan Sofea merasa tidak selesa. Sofea benar-benar tertekan. Baru sekarang, dia tahu sikap suaminya yang tersembunyi selama ini. Itupun setelah beberapa orang teman terapat suaminya mem beritahu sikap sebenar suaminya yang kasar dan mudah pemarah.
Zaman berkasih sayang sebenarnya tidak sama dengan alam rumah tangga. Waktu bercinta dulu, seseorang itu sentiasa berada dalam angan-angan yang penuh fantasi. Orang yang sedang mabuk bercinta, biasanya hidup dengan kepura-puraan. Sikap berpura-pura ini datang tanpa disedari. Masing-masing akan cuba menunjukkan sikap yang terbaik dan terpuji.
Dalam keadaan sama-sama berpura-pura ini, masing-masing cuba menilai keperibadian pasangan mereka. Tetapi apa yang mereka nilaikan ialah kepura-puraan dan bukannya keperibadian asli. Bilakah keperibadian asli ini akan diketahui? Jawabnya ialah apabila kedua-duanya sudah menjadi suami isteri. Di masa inilah, segalanya akan terbongkar.
Sama ada suami mahupun isteri, masing-masing berasa tidak puas hati dengan sikap dan perangai pasangan hidup mereka. Si isteri sentiasa inginkan suaminya melakukan sesuatu yang tidak bertentangan dengan kehendaknya. Kalau boleh, biarlah setiap gerak laku si suami itu mengikuti kemahuan si isteri.
Begitu juga sebaliknya bagi suami. Apa yang perlu kita fikirkan ialah mengubah sikap dan perangai seseorang bukanlah suatu perkara yang mudah. Bukan senang untuk mengubah sikap suami atau isteri. Lebih-lebih pula bila salah seorang daripadanya memiliki keegoan, tentu memakan masa yang lama dan menggunakan kesabaran yang jitu.
Namun begitu, si isteri tidak sepatutnya cuba menukar sifat-sifat dan semua kebiasaan suaminya secara total dan serta merta. Ini hanya akan menimbulkan perasaan bencinya terhadap si isteri yang akhirnya akan menjejaskan keharmonian rumah tangga yang sekian lama dibina. Lakukan dengan cara diplomasi dan jangan terlalu ketara.
Terdapat banyak cara untuk mengubah perangai dan sikap yang tidak diinginkan itu. Satu jalan yang baik ialah jika si isteri ingin mengubah perangai si suami maka terlebih dahulu si isteri hendaklah mengubah perangainya. Begitu juga sebaliknya.
Perkahwinan yang menyatukan dua insan berlainan jenis sepanjang hayat memerlukan persefahaman jiwa untuk mengukuhkan ikatan hubungannya. Sesebuah perkahwinan itu pada hakikatnya ialah memberi peluang kepada kedua insan untuk mendekati dan memahami perangai serta perwatakan pasangannya. Memahami adalah suatu perkara lain tetapi sanggup menerima perangai-perangai yang semulajadi itu adalah perkara terpenting.
Jika suami cuba hidup dengan semua perwatakan yang diingini oleh si isterinya tanpa menonjolkan perwatakannya yang sebenar, maka si suami tidakan akan tahan lama. Maksudnya, ada suatu perangai semulajadi pada diri si suami yang mesti diterima oleh si isteri dan tidak boleh diubah-ubah lagi. Begitu juga sebaliknya.
Salah satu perkara penting yang akan menjamin kesejahteraan rumah tangga ialah pengekalan sifat semulajadi yang baik. Harus diingatkan, teman hidup anda mula-mula tertarik pada diri anda berdasarkan perwatakan baik atau buruk. Jangan pula kita cuba mengubah sifat supaya menjadi seperti apa yang kita fikir, si dia inginkan.
Malah perubahan sikap itu akan membuat anda menjadi 'orang asing' di mata suami kerana sifat-sifat semulajadi yang mula-mula menambat hati suami anda itu sudah tiada. Anda perlu mengekalkan hobi atau minat anda, umpamanya menjahit, memasak, bersukan dan sebagainya kerana ini akan membuat anda lebih senang didampingi oleh suami anda dan menganggap diri anda sebagai seorang individu.
No comments:
Post a Comment