Tuesday, May 31, 2011

Membina Sebuah Keluarga Yang Kukuh

 
Chong Wai Leng (diterjelmah oleh Hayati Osman)
Pada hari ini kita mempunyai pelbagai perkakasan komunikasi yang dapat menghubungkan masyarakat dan negara-negara di seluruh dunia malah hingga ke angkasa lepas.Keupayaan kita untuk berkomunikasi secara elektronik dan digital membuatkan sistem perhubungan kita begitu canggih,jauh daripada apa yang pernah kita alami dalam sejarah hidup manusia.Namun begitu,persoalan yang perlu kita renungkan ialah: Apakah kita sebenarnya telah maju dari segi perhubungan sesama insan?Adakah kita menyedari bahawa kita boleh berkomunikasi dengan rakan-rakan tetapi amat sukar untuk berbicara dengan pasangan atau ahli keluarga kita di rumah?Jika demikian,mengapa?Mengapa kita gagal untuk mendekati suami atau isteri atau anak-anak kita,malah ibubapa serta adik-beradik kita?Mengapa kita gagal berkomunikasi dalam bidang ini?
Komunikasi
Jika kita boleh menjejaki semula bagaimana ibubapa kita berkomunikasi sesama mereka,dan cara ibubapa mereka pula berkomunikasi,kita mungkin dapat satu pola komunikasi yang boleh berulang atau diikuti oleh generasi seterusnya.Sebagai contoh,seorang bapa yang pendiam dan kurang bercakap,biasanya mempunyai bapa yang juga bersikap sedemikian,dan pola ini berkemungkinan besar akan diikuti oleh anaknya yang,tanpa sedar,akan menurunkan pola ini kepada anak-anaknya pula.Ia bagaikan satu penyakit keturunan.Bagaimanapun terdapat keadaan dimana seorang kanak-kanak itu lebih dipengaruhi oleh ibunya.Namun begitu siapa yang lebih berpengaruh adalah tidak penting,tetapi kesedaran bahawa pola sedemikian boleh dihentikan jika kita berusaha untuk memperbaiki cara kita berkomunikasi.
Saya mengenali seseorang yang mempunyai seorang ayah yang hebat dikalangan rakan-rakan tetapi bersikap dingin dan kurang bercakap bila berada di rumah.Ibunya adalah seorang isteri yang patuh dan tidak berani membantah walaupun adakalanya dia tidak bersetuju dengan suaminya.Anak lelakinya mempunyai sikap yang sama seperti ayahnya dan sering gagal dalam menjalin perhubungan kerana berpendapat bahawa kaum wanita mesti “tunduk” dan melayan pasangan mereka sepenuhnya.Dia akan menghadapi masalah yang sama seperti ibubapanya kecuali dia sedar akan masalah dirinya dan berusaha untuk keluar daripada pola tersebut.
Kita sering terperangkap dalam kitaran ini kerana kita dipengaruhi oleh ibubapa kita kecuali kita dapat mengenalpasti tabiat yang tidak sihat itu dan cuba untuk memperbaiki diri kita sendiri.
Keadaan ini menjadi bertambah buruk disebabkan oleh sistem pendidikan kita yang mengutamakan pembelajaran dan kemahiran sains untuk mengejar kemajuan dalam bidang teknologi.Sebaliknya kemahiran hidup diabaikan dan pihak sekolah mengatakan ini adalah tanggungjawab ibubapa di rumah.Pihak sekolah telah dibebani dengan kewajipan untuk memenuhi pencapaian tahap peperiksaan dan sukatan mata pelajaran.Ibubapa pula terlalu sibuk bekerja untuk membiayai persekolahan anak-anak mereka.Oleh itu siapakah yang bertanggungjawab?
Kita mesti bermula dengan keluarga sendiri.Tiada cara lain dan tiada siapa lagi yang boleh menjalankan kewajipan ini untuk kita.Beberapa perkara yang boleh kita lakukan bersama anak-anak kita ialah:
1. Mengamalkan kemahiran berkomunikasi yang baik.
Kita boleh bermula sejak bayi dalam kandungan ibu dengan bercakap dan menyanyi kepadanya.Bila bayi telah dilahirkan kita boleh bercakap serta membuat hubungan mata kerana ia mustahak agar bayi mengetahui bahawa kita memberikan sepenuh perhatian kepadanya.Bila bayi mula bertatih dan menjadi kanak-kanak,kita mesti terus memberikan perhatian semasa bercakap dengan mereka dan sentiasa bersopan santun sama seperti kita bercakap dengan orang dewasa.
2. Menggunakan bahasa positif.
Bahasa yang berunsur positif dapat membina keyakinan dalam diri kanak-kanak.Bahasa positif yang proaktif membawa lebih kebaikan,sebaliknya perkataan negatif mematikan harga diri dan keyakinan diri.Bahasa negatif menimbulkan rasa tidak puas hati yang seterusnya akan menimbulkan pelbagai masalah kepada ibubapa dan anak.
 
3. Membuka semua saluran untuk berkomunikasi.
Mendengar dan memberi perhatian kepada kemahuan anak-anak kita adalah amat penting.Kita mesti menjadi pendengar yang baik supaya dapat memahami anak-anak kita.Kita mesti berupaya mendengar apa yang tersirat di sebalik rengekan mereka dan juga pemikiran kita.
Sekiranya kita baru saja memulakan sebuah keluarga,kita boleh bermula dari sekarang .
Namun jika kita telah mempunyai keluarga yang sedang mengembang dan tidak mengamalkan perkara-perkara tersebut di atas,masih belum terlambat bagi kita untuk memulakannya.
Faktor penting dalam kemahiran berkomunikasi ialah bahasa,dan jika kita masih belum menguasai bahasa,kita tidak akan dapat meluahkan fikiran dan perasaan kita.Kita mesti berusaha menguasai sekurang-kurangnya satu bahasa,samada Bahasa Inggeris,Melayu,
Mandarin atau Tamil,atau apa jua bahasa yang digunakan.Itulah sebabnya kita mesti
memastikan anak-anak kita dapat menguasai bahasa bagi memudahkan mereka meluahkan perasaan.
Bagi suami-isteri,kemahiran berkomunikasi adalah lebih penting.Mereka mesti mencari peluang untuk berbual-bual dan mendalami perasaan masing-masing.Dengan mendalami perasaan mereka membuka ruang untuk mengenali lebih mendalam antara mereka,membuat keadan hidup bersama lebih baik dan ceria,dan seterusnya memperbaiki perhubungan mereka.Perkahwinan tidak sepatutnya bererti pasangan berhenti berkomunikasi.Sebaliknya,pasangan yang telah berkahwin perlu lebih banyak berkomunikasi kerana mereka bertanggungjawab untuk memberi yang terbaik dan membahagiakan kehidupan sesama mereka.Adalah penting bagi suami-isteri sentiasa meluangkan masa untuk berbual dan mendalami perasaan masing-masing.
Dalam keluarga kami masa makan malam adalah masa di mana semua orang berkumpul dan makan bersama,termasuk dua orang anak perempuan kami yang masih kecil.Suasananya sangat positif kerana semua orang merasa ceria dan positif.Kami akan terus berbual-bual dan berkongsi pendapat walaupun semua telah selesai makan,dan anak kami yang berusia dua tahun mengikuti perbualan kami sekali-sekala,menjawab pertanyaan-pertanyaan ayahnya dan menceritakan aktiviti sehariannya.Adiknya yang berusia satu tahun menyertai perbualan melalui mimik muka serta pergerakan tangan dan cara pertuturannya sendiri yang kami masih belum mengerti.Kemahiran berkomunikasi adalah satu tenaga positif yang tidak terhad hanya kepada kemahiran bercakap tetapi meliputi keseluruhan hidup kita dan semua yang kita lakukan.
 
Komitmen
Bersatu dalam satu perhubungan adalah satu komitmen – komitmen untuk sama-sama berusaha memahami diantara satu sama lain.Ramai yang tidak dapat melaksanakan komitmen ini dalam sebuah perhubungan yang kekal;ada yang berhenti setelah berkahwin.Mungkin ada yang merasakan “tugas telah selesai” atau mereka takut untuk terus berkongsi kerana tidak mahu terluka atau malu dengan apa yang akan diketahui oleh pasangan mereka.Namun tanpa sebarang komitmen,tidak akan ada satu perhubungan yang sejati kerana hanya melalui ikatan cinta,kepercayaan dan rasa hormat akan wujud satu perhubungan yang kekal dan memuaskan.Kedukaan adalah satu fenomena semula jadi kehidupan.Selagi ada kehidupan,selagi itu ada kedukaan.Kita tidak boleh lari daripadanya.Namun di sebalik itu ada kebahagiaan,yang cuba dikecapi oleh semua selagi mereka berupaya.
Hidup berumahtangga memerlukan banyak komitmen – dari segi kewangan,psikologi,dan emosi.Ia menuntut kematangan emosi dan pemikiran untuk menghadapi dan mengendalikan hakikat perkahwinan dan keibubapaan.Oleh itu setiap pasangan perlu memberi masa dan peluang yang mencukupi untuk mengenali dan memahami diri masing-masing.Sekali lagi,komunikasi adalah alat yang berkesan untuk menyemai rasa saling hormat dan memahami.Mesti ada perbincangan mengenai apa yang masing-masing harapkan dan rancangan mereka untuk masa depan,dan bagaimana masing-masing boleh memainkan peranan untuk mencapai satu tujuan yang sama.
Apabila anak-anak hadir dalam hidup,komitmen untuk mengasihi dan memelihara mereka adalah lebih penting.Kini perkahwinan itu lebih terikat kerana ia melibatkan lebih dari dua orang insan.Pada tahap ini suami-isteri mesti menjalankan tanggungjawab bersama dalam membesarkan anak-anak dan juga mengekalkan perhubungan mereka.Perkara ini sering diketepikan bila kelahiran anak menuntut masa dan perhatian yang lebih banyak.Sebuah perkahwinan yang bahagia membuat anak-anak merasa selamat dan disayangi,dan mempengaruhi keyakinan mereka terhadap kasih sayang dan perkahwinan.
 
Kerjasama
Peranan suami dan isteri masakini tidak lagi dibahagi dengan jelas – suami mencari nafkah dan isteri menguruskan anak-anak dan rumahtangga.Kaum lelaki kini secara amnya lebih terlibat dalam mengasuh anak-anak serta membantu dalam kerja-kerja rumah.Bagaimanapun,masih ada yang mengikut cara hidup lama dan terus menjadi raja dalam rumah mereka dan mengecewakan isteri mereka.Walau apa jua keadaannya,samada suami-isteri bekerja di luar,atau salah seorang tinggal di rumah mengasuh anak-anak,atau mungkin kedua-duanya bekerja dari rumah supaya hidup lebih “normal”,kedua-duanya perlu bekerjasama dan saling membantu dalam menjalani hidup seharian dan membuat persediaan untuk masa depan.
Ini bukan mengenai persamaan hak,tetapi lebih kepada komitmen yang sama dan dengan itu bekerjasama dalam mengendalikan anak-anak dan rumahtangga.Ia mengenai sikap yang seimbang,bukan berat sebelah.Kaum wanita tidak boleh menolak peranan sebagai ibu kerana tiada siapa yang boleh menggantikan tempat mereka,bukan pengasuh ataupun nenek.Kaum lelaki tidak boleh menolak peranan sebagai bapa kerana sokongan dan penglibatan mereka amat bermakna kepada isteri dan anak-anak mereka.
Bekerjasama juga bererti menyokong dan menghargai antara satu dengan lain.Mesti ada kebebasan untuk melakukan apa yang diingini,contohnya,si isteri mengambil keputusan untuk tinggal di rumah mengasuh anak-anak,atau dia mahu keluar bekerja.Perkara-perkara seperti ini perlu dibincangkan dan masalah yang timbul diselesaikan bersama.Salah seorang tidak boleh mempunyai kuasa mutlak kerana perkahwinan itu adalah satu perkongsian bukan satu penguasaan yang tiada batas!
Sekiranya keadaan tidak berjalan dengan baik dan komunikasi diantara pasangan suami-isteri menjadi sukar,adalah wajar mendapatkan bantuan orang ketiga sebagai penasihat.Pasangan suami-isteri tidak perlu takut untuk membincangkan masalah mereka kerana perbincangan itu adalah satu langkah positif dalam usaha mereka untuk memperbaiki keadaan rumahtangga mereka.

Wai Leng,Mei 1998

No comments: