Tuesday, May 31, 2011

MEKANISME KECEMERLANGAN KELUARGA DALAM ALAF BARU

MEKANISME KECEMERLANGAN KELUARGA
DALAM ALAF BARU
Dr. Harlina Halizah Hj Siraj
Ketua Wanita JIM Pusat sesi 1999/2001
(KWJY2K)
1. PENDAHULUAN
Alaf ketiga ini menjanjikan satu fasa yang penuh mencabar kewibawaan  manusia dalam mempertahankan survival dan kesinambungan hidupnya. Disebalik keghairahan mencatatkan lonjakan dalam keupayaan manusia menerawang segenap penjuru alam ciptaan Allah ini, tidak kurang pula timbulnya rasa cemas dan khuatir melihat kerapuhan manusia berpegang kepada perkara-perkara asas yang selama ini  menjadi faktor keseimbangan atau homeostasis interaksi kehidupannya dengan alam sekitar. Apa yang dulunya menjadi keutamaan atau `priority’ dalam lingkungan hayat insan, kini menjadi suatu agenda sampingan yang hanya diberikan perhatian sekiranya ada waktu yang terluang. 
Institusi keluarga adalah  satu contoh tepat yang menggambarkan anjakan keutamaan yang tersasar ini. Bilamana keluarga yang merupakan elemen asas dalam pembentukan masyarakat dan tamadun manusia tidak lagi menjadi fokus utama, berlakulah rentetan-rentetan peristiwa yang akan membawa kehancuran dan kepincangan sosial yang ketara. Apalah ertinya kemajuan teknologi dan kecanggihan sistem komunikasi yang tinggi sekiranya ianya bangun ditengah-tengah ketandusan akhlak, kebejatan moral dan keruntuhan nilai kemanusian itu sendiri.  Kertaskerja ini akan cuba membawa beberapa permasalahan yang harus direnungi bersama seterusnya mencadangkan beberapa langkah praktikal yang perlu diambil untuk memastikan institusi keluarga terus kekal menjadi tadahan dan takungan insan soleh wa musleh demi menjamin kebahagian hidup di dunia dan akhirat.
 
2. PENGERTIAN DAN FUNGSI  `KELUARGA
2.1 DEFINISI `KELUARGA’
Secara ringkas, `Keluarga’ ditakrifkan sebagai satu kelompok manusia yang mempunyai talian darah dan biologi sesama mereka.  Keluarga Asli  ( Original family) atau Keluarga nuklear ( Nuclear family ) ialah keluarga yang terdekat sekali dan ianya terdiri dari kedua ibu bapa serta anak-anak mereka. Sementara  Keluarga luas ( Extended family) merangkumi peribadi-peribadi seperti datuk, nenek, anak-anak saudara, ibu bapa  saudara dan sepupu.
2.2 TUJUAN DAN FUNGSI INSTITUSI KELUARGA MENURUT AL-QURAN DAN AS-SUNNAH
Prof. Khurshid Ahmad dalam bukunya `Family Life in Islam’ menyenaraikan TUJUH fungsi institusi keluarga berdasarkan Al-Quran dan as-Sunnah seperti berikut :
2.2.1 Pengekalan dan penerusan umat manusia
Kesinambungan kehidupan manusia bergantung kepada sejauhmana berkesannya proses pembiakan diantara lelaki dan wanita. Bertolak dari situ, perlu ada suatu struktur yang  mampu berfungsi dengan baik bagi memenuhi tujuan tersebut . Menurut Al-Quran seperti yang digambarkan dalam ayat pertama Surah An-Nisaa’, keluarga adalah sistem yang dapat mengendalikan sistem ini.(mafhum ayat )  :
`Hai sekelian manusia, bertaqwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari seorang diri, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya, dan daripada keduanya Allah memperkembang-biakkan lelaki dan perempuan yang banyak.’
2.2.2 Perlindungan akhlak dan tatasusila
Hidup berkeluarga mengawal kecenderungan tabii manusia kepada keinginan terhadap hubungan kelamin antara lelaki dan wanita. Kesedaran  dan rasa tanggungjawab mestilah menjadi asas utama dalam jalinan hubungan tersebut. Galakan Islam terhadap perkahwinan dan memulakan hidup berkeluarga jelas digambarkan didalam ayat kelima, Surah Al-Maidah (mafhum ayat)  :
`Dan dihalalkan kamu mengahwini wanita yang menjaga kehormatannya dikalangan wanita yang beriman.’
2.2.3 Kestabilan hubungan kerohanian, kebaikan dan kasih sayang
Keluarga didalam Islam merupakan pusat yang mengembangkan kasih-sayang, kebaikan, perlindungan, kehormatan, percaya-mempercayai, pengorbanan dan ketenteraman yang semuanya berlandaskan kepada kekuatan rohani. Firman yang menyentuh aspek ini tergambar dalam ayat –21, Surah Ar-Rum ( mafhum ayat ) :
`Dan diantara tanda-tanda kekuasaanNya, Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram dengannya, dan dijadikanNya diantara kamu kasih sayang. Sesungguhnya yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.’ 
2.2.4   Proses pembentukan dan pembinaan nilai
Keluarga adalah  institusi pendidikan asas bagi setiap manusia. Bukan hanya anak-anak yang dibesarkan didalam sesebuah keluarga itu yang harus mendapat pendidikan dan dibentuk  sikap dan nilai hidupnya, malahan seringkali juga, ibu bapa selaku orang dewasa mendapat pengajaran dan didikan yang berterusan. Pendidikan yang didasarkan dengan sikap tanggungjawab ini dijelaskan melalui ayat keenam dari Surah At-Tahrim (mafhum ayat) ;
`Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.’
2.2.5 Jaminan sosial dan ekonomi
Insitusi keluarga merupakan satu institusi yang menjamin keselamatan sosial dan ekonomi sesebuah masyarakat. Tugas menyara isteri dan anak-anak diletakkan dibahu kaum lelaki dan ianya mestilah dilaksanakan sebaik mungkin.
Surat An-Nisa’ ayat ke-34 menggariskan tanggungjawab ini ( mafhum ayat ) :
` Kaum lelaki adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab keatas kaum wanita’
2.2.6 Meluaskan kaum kerabat serta mewujudkan kekuatan sosial dalam masyarakat
Institusi keluarga juga memperluaskan bidang kekerabatan dan silaturrahim di kalangan umat. Dengan penyatuan antara kedua insan yang datang dari kelompok, tempat dan budaya yang berbeza, perkahwinan dapat mengukuhkan lagi hubungan persaudaraan sesama insan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
` Ikatan perkahwinan (antara dua keluarga dan bangsa ) menambahkan persaudaraan lebih dari segala sesuatu’
2.2.7 Keazaman berusaha dan meningkatkan diri
Rasa tanggungjawab menyara keluarga menjadikan kaum lelaki yang bergelar suami dan bapa berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan tahap pencapaian sosial dan ekonomi mereka. Sesuai dengan firman Allah dalam Surat An-Nuur ayat ke-32 ( mafhum ayat ) :
` Dan kahwinkanlah orang-orang yang bersendirian dikalangan kamu dan orang-orang yang layak diantara hamba-hambamu lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memampukan mereka dengan kurniaNya. Dan Allah Maha Luas pemberianNya lagi Maha Mengetahui.’
 
3. KELUARGA YANG CEMERLANG DAN EFEKTIF
Penulis lebih berminat untuk menakrifkan kecemerlangan sesebuah keluarga dari perspektif keberkesanannya dalam menjalankan fungsi-fungsi serta tujuan pembentukan keluarga itu seperti yang dihuraikan didalam bahagian 2.2 diatas.
Kecemerlangan keluarga tidaklah harus disamakan dengan sebanyak mana kemewahan dan kekayaan matabenda yang ada semata-mata, mahupun dengan mengira betapa ramainya atau sedikitnya anak yang lahir dalam keluarga tersebut. Kecemerlangan sesebuah keluarga akan terserlah melalui budaya hidup setiap ahlinya dalam berinteraksi sesama mereka, yanng saling bergantungan untuk menyuburkan perasaan kasih sayang, hormat dan saling percaya mempercayai. Sebuah keluarga yang EFEKTIF akan mampu menyediakan sebuah taman perlindungan atau `sanctuary‘  bagi setiap ahlinya dari badai dan taufan kehidupan luar yang melanda setiap masa. Profesor Madya Dr. Muhammad Hatta Shaharom telah menggariskan beberapa perbezaan yang ketara diantara `Keluarga Yang Tidak Berfungsi’ dengan ` Keluarga Yang Berfungsi’ di dalam buku beliau bertajuk `Psikologi Keluarga – Ke Arah Rumahtangga Bahagia ‘  ( sila rujuk Jadual [1] di bawah )
JADUAL 1 : PERBANDINGAN  `KELUARGA YANG TIDAK BERFUNGSI’ DENGAN `KELUARGA YANG BERFUNGSI ‘
 

KELUARGA YANG TIDAK BERFUNGSI
KELUARGA YANG BERFUNGSI
1. KOMUNIKASI
Tidak jelas
Tidak langsung
Tidak khusus
Tidak selari 
Jelas
Langsung
Khusus
Selari
2.KEPUTUSAN-KEPUTUSAN
Terbantut & tidak lancar 
Dijamin untuk semua; perbezaan –perbezaan individu bukan sahaja diterima malah merupakan rangsangan untuk perkembanan selanjutnya.
3. NATIJAH - NATIJAH 
- Dilakukan diatas asas `pergelutan kuasa’. Siapa yang kuat adalah lebih mustahak daripada apa yang benar dan lebih sesuai
- Porak peranda dan tidak boleh dijangkakan
- Dilakukan diatas pertimbangan masalah yang dihadapi; apa yang benar dan sesuai adalah dianggap lebih mustahak dari siapa yang kuat
- Teratur kemas dan boleh dijangkakan
4. RESPONS TERHADAP TUNTUTAN UNTUK BERUBAH
 Semua tuntutan keatas sistem yang `rigid’  akan mengakibatkan tekanan dan gejala gangguan jiwa
Sistem keluarga yang `flexible’ atau anjal kepada perubahan sebagai respon kepada tuntutan persekitaran dan gejala gangguan jiwa tidak wujud
4. CABARAN DAN HALANGAN  KEPADA  PEMBENTUKAN KELUARGA CEMERLANG DAN EFEKTIF
4.1 CABARAN LUARAN 
4.1.1 Sistem hidup dan kerjaya yang tidak `mesra-keluarga’ ( family-friendly) 
Hari ini, kebanyakan kerjaya tidak memberikan keutamaan kepada tanggungjawab individu terhadap keluarganya. Kesibukan kerja sering menyebabkan keluarga terabai dan terbiar, terutamanya bila seseorang itu perlu bertugas jauh dari keluarga dalam tempoh yang agak lama. Wanita berkerjaya berhadapan dengan dilemma dalam memberikan tumpuan yang seimbang kepada kerjaya dan keluarga. Sistem nilai dan kerjaya yang ada tidak membantu individu untuk meletakkan keluarga sebagai keutamaan.
4.1.2 Persepsi masyarakat terhadap keluarga
Sekalipun masih ramai diantara kita yang beranggapan keluarga adalah unit asas bagi membentuk sesebuah masyarakat, namun masyarakat hari ini secara amnya tidak memandang tinggi usaha-usaha pengurusan keluarga dan rumahtangga. Wanita yang tidak menjawat pekerjaan di luar rumah dianggap tidak produktif dan progresif. Ini menyebabkan berbondong-bondong wanita terjun sama dalam bidang pekerjaan, tanpa benar-benar memastikan keluarga mereka sentiasa terurus dan teratur. 
4.1.3 Tarikan sekitaran dan kesannya keatas anak-anak
Duapuluh tahun yang  lalu, keluarga masih mampu mengawal dan mengawasi geraklaku anak-anak terutamanya yang semakin meningkat remaja. Namun hari ini, dengan perkembangan sains teknologi dan maklumat yang canggih serta persaingan sengit dalam setiap aspek kehidupan, anak-anak remaja semakin renggang serta jarang berinteraksi dengan ahli-ahli keluarga yang lain terutamnya ibu dan bapa mereka. Akibatnya keluarga tidak lagi mampu berfungsi mengawasi dan mengawal tingkahlaku anak remaja. 
 
4.2 HALANGAN DALAMAN
4.2.1 Kurangnya ilmu dan pengetahuan mengenai tanggungjawab dan kemahiran  keibubapaan ( Parenting skills )
Kebanyakan ibu bapa hari ini hanya merasakan tanggungjawab  mereka adalah sekadar memberikan kelengkapan jasmani kepada ahli keluarga yang lain semata-mata. Ini mendorong kepada budaya materialisme yang berakar umbi dan menjadi keutamaan didalam sesebuah keluarga tersebut disamping mengetepikan aspek-aspek kemanusian dan emosi yang amat penting dalam pembentukan sahsiah insan.
4.2.2 Kurangnya kemahiran berkomunikasi
Ibu bapa hari ini tidak berkomunikasi dengan baik terutamanya dalam perkara-perkara yang memerlukan komitmen kedua-duanya. Ramai yang mengambil mudah aspek komunikasi ini. Akibatnya banyak berlaku salah faham yang berlarutan yang boleh membawa kepada keretakan perhubungan dalam keluarga.
4.2.3 Kurang masa bersama sekeluarga
Dengan kesibukan hidup seharian, keluarga jarang bersama-sama kecuali semasa cuti hujung minggu sahaja. Akibatnya, interaksi sesama ahli menjadi hambar dan tidak berkembang. Suami isteri menjadi seolah-olah dua individu asing yang tidak kerap bertukar pendapat. Malahan terdapat individu yang tidak sabar untuk kembali bekerja semata-mata untuk bertemu semula dengan rakan-rakan di pejabat yang lebih mesra dan tidak membosankan jika dibandingkan pasangan dan anak-anak kecil mereka di rumah. Mungkin ramai yang ingin menafikan perkara ini,, namun itu adalah  hakikatnya!
 
 
5. MEKANISME DALAM MEMBENTUK KELUARGA (USRAH) YANG EFEKTIF DAN CEMERLANG
Untuk membincangkan perkara yang penting ini, penulis akan banyak merujuk kepada buku karangan Dr. Stephen R. Covey yang berjudul `The Seven Habits of Highly Effective Families’. Pengolahan akan dibuat untuk menyesuaikan aspek-aspek yang dihuraikan dengan tuntutan Islam serta budaya kehidupan kita yang sedia ada. 
5.1 MEKANISME PERTAMA : 
MELETAKKAN KELUARGA SEBAGAI `KEUTAMAAN NOMBOR WAHID’
Sesungguhnya amatlah besar tanggungjawab memimpin sesebuah rumahtangga dan keluarga seperti yang digambarkan didalam firmah Allah SWT dalam Surah At Tahrim ayat 6 yang bermaksud : 
` Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.’
Sesuai dengan tanggungjawab tersebut, keluarga mestilah diletakkan sebagai keutamaan yang paling atas dalam senarai tugas seorang mukmin. Tidak cukup hanya dengan menyebutnya dibibir sahaja, ibu bapa haruslah dilihat mengutamakan keluarga dari setiap aspek perbuatan, pemikiran dan interaksi. Sekiranya kita bertungkus lumus bekerja seharian  mencari nafkah untuk keluarga, tidaklah boleh keluarga itu pula dipinggirkan dalam keghairahan kita mengejar peluang dan kekayaan. Ingatlah pesanan Goethe : `Things which matter MOST must never be at the mercy of things that matter LEAST’
 
5.2 MEKANISME KEDUA :
MERUBAH SIKAP DAN MENTALITI `KEAKUAN’ KEPADA BUDAYA PEMIKIRAN KOLEKTIF `KEKAMIAN’ DAN `KEKITAAN’
Hidup berkeluarga sering disamaertikan dengan perkongsian hidup.  Perubahan dari gaya berfikir secara `aku’ kepada mentaliti `kami dan kita’ yang sebenarnya melambangkan anjakan dari kebebasan kepada hidup saling bergantungan, adalah aspek paling mencabar dan sukar dalam sebuah kehidupan berumahtangga. Dalam melayari kehidupan berkeluarga, kebahagiaan orang lain adalah juga kebahagiaan kita.  Amatlah sukar jika setiap ahli didalam keluarga tersebut hanya menginginkan kebahagiaan peribadi, tanpa sikap tolak ansur dan hormat-menghormati. Renungilah pendapat seorang penulis Barat, JS Kirtley : ` Married life can never be what it ought to be while the husband or wife makes personal happiness the main object.’ 
5.3 MEKANISME KETIGA :
BERSIKAP PROAKTIF MENGENALI DAN MENEROKAI  POTENSI DIRI DAN AHLI KELUARGA
Peribahasa Melayu ` Tak kenal maka tak cinta ‘ sememangnya membawa banyak kebenaran dan makna. Keluarga harus dibina diatas landasan `perkenalan’ atau taa’ruf yang ikhlas dan jujur. Hanyalah dengan mengenali peribadi, kekuatan dan kelemahan seseorang itu, barulah kita mampu memahami mengapa dan kenapa individu tersebut mengambil sikap tertentu untuk bertindakbalas terhadap sesuatu keadaan dan masalah.  Seringkali, manusia bertindak secara reaktif mengikut emosi terhadap sesuatu situasi dan mengambil tindakan yang kurang bijak dan akan menimbulkan penyesalan kemudiannya. Namun, sekiranya kita mengambil masa untuk memikirkan terlebih dahulu bagaimana untuk bertindakbalas terhadap sesuatu rangsangan, kita akan mampu bertindak mengikut prinsip dan nilai yang sebenar, dan inilah yang dinamakan tindakan proaktif. 
5.4 MEKANISME KEEMPAT :
MEMBENTUK `PERNYATAAN MISI’ KELUARGA
Mungkin ramai diantara kita yang merasakan misi keluarga Islam amatlah jelas, iaitu untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT yang seterusnya menjanjikan  kebahagian hakiki dunia dan akhirat. Namun mengapakah misi tersebut seolah-olah kabur dan tidak dikongsi bersama oleh setiap ahli keluarga, hinggakan sering terdapat anak-anak yang telah diberikan didikan dan asas agama yang cukup, masih sanggup melakukan maksiat dan perlanggaran terhadap perintah Allah? Amatlah penting supaya misi ini sama-sama dihayati oleh setiap ahli. Untuk dapat menghayatinya, ahli-ahli keluarga haruslah merasakan misi itu datang dari mereka sendiri dan bukannya  semata-mata  digariskan melalui  kuasa  veto  seorang bapa atau ibu. Sebagaimana juga proses menghasilkan penyataan misi bagi sebuah organisasi perniagaan, ahli keluarga juga haruslah sama-sama menyumbang untuk membentuk pernyataan misi yang unik untuk keluarga tersebut. Berikut adalah satu contoh pernyataan misi sebuah keluarga yang terdapat didalam buku Dr. Stephen Covey :
`Our FAMILY MISSION :
To always be kind, respectful and supportive of each other,
To be honest and open with each other,
To keep a spiritual feeling in the home,
To love each other unconditionally,
To be responsible to live a happy, healthy and fulfilling life,
To make this house a place we all want to come home to.
5.5 MEKANISME KELIMA :
MEMAHAMI KONSEP AKAUN BANK EMOSI
( EMOTIONAL BANK ACCOUNT )
Akuan Bank Emosi mewakili kualiti hubungan seseorang dengan individu lain. `Deposit’ kedalam akaun ini adalah perkara-perkara yang dibuat secara proaktif untuk menambahkan kepercayaan dalam sesuatu hubungan, sementara `Pengeluaran( withdrawal )’ adalah perkara-perkara yang dilakukan secara reaktif yang akan menghakis kepercayaan dalam sesuatu perhubungan. Imbangan antara deposit dan pengeluaran dalam akaun ini akan menggambarkan kualiti hubungan yang terjalin diantara dua individu. Setiap ahli keluarga terutamanya ibu dan bapa haruslah mampu mengimbangi akaun ini dengan baik setiap masa dan keadaan. 
JADUAL 2 : CONTOH  TINGKAHLAKU `PENGELUARAN’ DAN `DEPOSIT’
 
TINGKAHLAKU   KATEGORI `PENGELUARAN’
TINGKAHLAKU  KATEGORI
`DEPOSIT’
* Bercakap kasar dan tidak bersopan santun, mencaci & memaki hamun
* Tidak pernah meminta maaf @ tidak ikhlas mengatakan `maaf’
* Sering mengkritik dan mengumpat keji ahli keluarga lain semasa mereka tiada
* Tidak membuat sebarang komitmen kepada ahli keluarga
* Senang berdendam dan mudah bersangka buruk ? Berbudi bahasa dan menggunakan kata-kata yang baik
* Senang memohon kemaafan jika berlaku kesilapan
*  Sentiasa bertindak membela dan bersangka baik
? Membuat dan menepati janji
 
? Mudah memaafkan



 
6. KESIMPULAN
Tiada satupun keluarga yang cemerlang dan efektif boleh mendakwa bahawa kecemerlangan itu datang bergolek tanpa sebarang pengorbanan dan sikap tolak ansur. Malahan setiap individu yang mahu menikmati kehidupan berkeluarga yang berkualiti mestilah mula mengadakan muhasabah dan `post-mortem’ diatas setiap masalah dan kesulitan yang dihadapi dalam rumahtangga. Anjakan paradigma haruslah dimulakan oleh ahli yang paling dominan dalam keluarga tersebut. Semoga dengan niat dan kesungguhan yang ikhlas, kita akan mampu membina keluarga yang efektif dalam memainkan peranan utama menjana keperibadian insan soleh wa musleh di alaf akan datang.
Renungilah kata-kata Michael Novak ini sebagai penutup kepada kertas kerja ini :
` Being married and having children has impressed on my mind certain lessons, for whose learning I cannot help being grateful. Most are lessons of difficulty and duress. Most what I am forced to learn about myself is not pleasant……My dignity as a human being depends perhaps more on what sort of husband and parent I am, than on any professional work I am called upon to do. My bonds to my family hold me back ( and my wife even more) from many sorts of opportunities. And yet these do not feel like bonds. They are, I know, my liberation. They force me to be different sort of human being, in a way which I want and need to be forced.’
Wallahua’lam

BIBLIOGRAFI :
1. Al Quranul Karim
2. Covey S.R. The Seven Habits of Highly Effective Families. Great Britain : Franklin Covey,  1997
3. Hatta S.M. Psikologi Keluarga : Ke Arah Rumahtangga Bahagia. Kuala Lumpur : Pustaka Salam, 1989
4. Norizan S. Belaian Kasih. Kuala Lumpur : Vinlin Press, 1993
5. Urwah A. Risalah Usrah, Jilid 2 : Wanita & Kekeluargaan. Kuala Lumpur : Pustaka Salam, 1986

No comments: